ADUN gesa semakan bebas kelulusan EIA, audit keselamatan cerun

Admin
img 20261102 wa0075

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri digesa menjalankan semakan bebas terhadap kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Laporan Impak Trafik (TIA) dan Pelan Kerja Tanah bagi projek pembangunan di kawasan cerun berisiko tinggi susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Paya Terubong yang mengancam keselamatan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, kejadian hakisan dan kegagalan cerun, khususnya ketika hujan lebat, bukan sahaja mengakibatkan kerosakan infrastruktur, malah menimbulkan ancaman serius terhadap penduduk yang tinggal berhampiran kawasan lereng bukit.

Menurutnya, kejadian tanah runtuh terbaharu di Jalan Paya Terubong perlu dijadikan amaran bahawa aspek keselamatan cerun dan kawalan pembangunan di kawasan berbukit tidak boleh dipandang ringan.

“Keselamatan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi demi kepentingan pembangunan.

“Kita tidak boleh melupakan tragedi tanah runtuh Bukit Kukus pada 19 Oktober 2018 yang meragut sembilan nyawa,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Pulau Pinang 2027 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini, sebentar tadi.

Beliau turut membangkitkan persoalan berkaitan ketelusan dan kebolehpercayaan proses kelulusan teknikal bagi projek pembangunan, khususnya di kawasan cerun berisiko tinggi.

Jelasnya, pada persidangan DUN Mei lalu, beliau telah membangkitkan isu integriti Jabatan Alam Sekitar (JAS) susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan rasuah dalam urusan EIA.

Sehubungan itu, Soon Siang mengemukakan dua gesaan utama kepada Kerajaan Negeri bagi memperkukuh aspek keselamatan dan memastikan pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab.

“Pertama ialah menjalankan semakan bebas terhadap kelulusan EIA, TIA dan Pelan Kerja Tanah bagi projek pembangunan di kawasan cerun berisiko tinggi dengan melibatkan agensi teknikal berkaitan, termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Kerja Raya (JKR), JAS dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Gesaan kedua pula ialah memperketat mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan cerun, termasuk melaksanakan audit keselamatan secara berkala terhadap projek pembangunan yang telah diluluskan serta memastikan tindakan segera diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan,” jelasnya.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan setiap projek pembangunan mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan dan tidak mendedahkan penduduk kepada risiko bencana.

“Kita boleh membina lebuh raya, bangunan tinggi dan melaksanakan projek pembangunan bernilai berbilion ringgit.

“Namun begitu, sekiranya keselamatan rakyat tidak terjamin, semua pembangunan tersebut hilang maknanya kerana keselamatan nyawa mesti menjadi keutamaan,” tegasnya.

Justeru, beliau berharap Kerajaan Negeri memandang serius isu berkenaan dengan memastikan setiap kelulusan pembangunan di kawasan cerun berisiko tinggi berlandaskan prinsip integriti, ketelusan dan keselamatan rakyat, agar tragedi yang meragut nyawa tidak berulang.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS