GEORGE TOWN – Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) berpotensi memainkan peranan lebih besar sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar berkaitan wanita, keluarga serta komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon berkata, sejak ditubuhkan pada 2019, JPWK telah membuka ruang kepada wanita untuk melibatkan diri dalam kepimpinan, pembangunan keluarga serta pelbagai aktiviti komuniti pada peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN).
“Penghargaan wajar diberikan kepada Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan seluruh anggota JPWK atas sumbangan serta komitmen mereka dalam memperkasa wanita dan membangunkan komuniti sepanjang tujuh tahun penubuhannya.
Kini, sudah tiba masanya JPWK dibawa ke fasa seterusnya dengan memperluas peranannya daripada sekadar penganjur program komuniti kepada rakan strategik dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar negeri.
“JPWK bukan sahaja perlu menganjurkan program kemasyarakatan atau aktiviti pembangunan wanita, malah berpotensi membantu kerajaan mengenal pasti cabaran sebenar yang dihadapi keluarga, menguji penyelesaian di peringkat komuniti serta memberikan maklum balas mengenai keberkesanan dasar yang dilaksanakan.
“Dengan pengalaman dan hubungan rapat bersama masyarakat setempat, JPWK boleh menjadi salah satu jambatan penting yang menghubungkan pembuat dasar dengan realiti kehidupan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2027 dan Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini hari ini.
Dalam pada itu, Khai Loon mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan peningkatan peruntukan program JPWK daripada RM10,000 kepada RM12,000 setahun bagi setiap kawasan KADUN.
Menurutnya, cadangan tersebut mengambil kira peningkatan kos penganjuran program serta tanggungjawab komuniti yang semakin berkembang.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pertambahan peruntukan perlu disertai peningkatan keupayaan dan impak pelaksanaan, bukannya sekadar menambah bilangan aktiviti.
PWDC boleh membantu membangunkan satu kerangka penilaian yang mudah bagi mengukur perubahan sebenar terhadap kepimpinan wanita, kesejahteraan keluarga serta keupayaan komuniti menyelesaikan masalah.
“Dengan pendekatan ini, keberkesanan JPWK dapat dinilai bukan sahaja berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan, tetapi juga perubahan positif yang berjaya dibawa kepada masyarakat,” jelasnya.
Beliau berharap usaha memperkasakan JPWK dapat diteruskan secara berterusan agar jawatankuasa berkenaan bukan sahaja menjadi platform pembangunan wanita, malah berupaya memainkan peranan lebih besar sebagai rakan strategik kerajaan negeri dalam merangka dasar yang lebih responsif terhadap keperluan rakyat Pulau Pinang.
Sebagai rekod, JPWK ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai platform memperkasa wanita dan pembangunan keluarga pada peringkat akar umbi, melibatkan kesemua 40 kawasan KADUN dengan keanggotaan seramai 15 wanita bagi setiap kawasan, menjadikan keseluruhannya 600 pemimpin wanita komuniti.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI