ADUN harap projek pembentungan dekat Batu Uban siap mengikut jangka masa ditetapkan

Admin

BATU UBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berharap agar pelaksanaan projek rangkaian paip pembentungan dekat kawasan Bukit Gambir, di sini dapat disiap dalam jangka masa ditetapkan.

Menurutnya, projek tersebut yang sepatutnya siap pada 8 Oktober tahun lepas kini mengalami kelewatan dipercayai berpunca daripada perubahan pada jajaran paip pembentungan.

Katanya, kelewatan itu telah mengakibatkan berlakunya kesesakan lalu lintas yang luar biasa serta boleh mengancam keselamatan penduduk.

“Saya menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai kesesakan lalu lintas sehingga mengancam keselamatan mereka.

“Justeru, saya berharap agar pihak kontraktor yang dipertanggungjawabkan dapat menyiapkan projek ini secepat mungkin demi keselamatan dan keselesaan penduduk,” ujarnya ketika sidang media, di sini sebentar tadi.

Difahamkan, projek melibatkan jajaran sepanjang 19 kilometer (km) iaitu jalan dari Bukit Gambir ke Bayan Lepas itu telah diberi lanjutan masa pertama (EOT 1) selama 131 hari, bermula 9 Oktober tahun lepas sehingga 17 Februari lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2020.

Mengulas lanjut, Kumaresan memberitahu bahawa satu sesi dialog akan diadakan bersama penduduk setempat bagi menjelaskan perkara-perkara berkaitan projek berkenaan.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI