ADUN harap TAMPIL 2.0 tingkat kesedaran wanita

DATUK KERAMAT – Agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) berharap penganjuran Pesta Tampil Komuniti (TAMPIL 2.0) dapat meningkatkan kesedaran golongan wanita mengenai isu-isu gender serta pembangunan kapasiti kendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim berkata demikian pada Majlis Pelancaran TAMPIL 2.0 Peringkat Parlimen Jelutong, yang dirasmikan oleh Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

“Ini adalah program Siri Pemberdayaan Wanita anjuran PWDC.

“Perkatataan ‘TAMPIL’ bermaksud mara, atau bergerak ke hadapan, justeru, ianya berkait rapat dengan penyertaan seorang insan secara aktif serta dinamik dalam membangunkan diri dan masyarakat sekeliling,” katanya pada majlis yang berlangsung di Dewan JKKK Kebun Lama di sini baru-baru ini.

Justeru, Siew Khim berharap lebih ramai wanita menyertai Briged Wanita Pulau Pinang (BWPP) di komuniti setempat masing-masing, dengan mendaftarkan diri di Pusat Khidmat ADUN atau melalui anggota JKKK.

TAMPIL adalah wajah baru daripada Pesta Santai Rakyat, iaitu siri program karnival pemimpin negeri bertemu komuniti setempat yang dianjurkan di kesemua lima daerah di negeri ini pada tahun lalu.

Pesta Santai Rakyat dan TAMPIL 2.0 diilhamkan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap ADUN Pantai Jerejak, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Dalam itu, Jagdeep dalam ucapannya pula memberitahu, bukti Kerajaan Negeri hari ini menghargai wanita antaranya adalah dengan melantik mereka yang layak mengetuai beberapa agensi negeri lain, seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan investPenang, PWDC, Perbadanan George Town Bandar Warisan (GTWHI) dan Penang Green Council (PGC).

Dalam perkembangan lain, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat turut memuji PWDC kerana menganjurkan kempen ‘Penang Goes Orange’, dengan tema ‘Hentikan Keganasan, Hormati Wanita’ sejak 2014, demi membendung kes keganasan rumah tangga dan rogol. Sebarang pertanyaan, layari info@ pwdc.org.my atau terus hubungi talian 04-261 2835/04 – 261 5261.