Kerja sebagai pasukan MBPP, seru KM

GEORGE TOWN – Semua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dinasihatkan supaya bekerja sepasukan, terutama dalam melaksanakan penguatkuasaan berwajib.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberi nasihat itu secara umum, tanpa menyebut nama mana-mana pihak.

“Kalau takut, ini tidak lain tidak bukan anda pengecut dan tidak harus cuba tonjol sebagai pemimpin.

“Pemimpin dalam MBPP, saya rasa jangan ingat apabila anda jadi pengecut (dengan begitu sahaja kerana) penguatkuasa ada mata dan boleh lihat siapa membela semasa mereka buat (penguatkuasaan) yang betul,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Alat Automated External Defibrillator (AED) Sempena Program Penang Heart-Safe di perkarangan Bangunan Dewan Bandaraya, Padang Kota di sini barubaru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang turut hadir memberitahu bahawa pemasangan AED di sini merupakan majlis pelancaran kelima peringkat negeri.

Kerajaan Negeri membelanjakan RM41,340 untuk memasang 10 alatan AED di lokasi-lokasi terpilih di negeri ini.

Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Ang Aing Thye serta beberapa Ahli Majlis lain, Dr. Luah Lean Wah (Pengerusi Jawatankuasa Pengelola), Tommy Ooi (Penasihat Lions Club International 308 B2, Dr. Ng Siew Hian (Penaung Penang CPR Society), Dr. Goh Eng Leong (Presiden Penang CPR Society), Datuk Dr. Yee Thiam Sun (Pemerintah Negeri St. John Ambulans Malaysia Pulau Pinang), Datuk B.J. Yeang (Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Pulau Pinang) dan Christopher Barnabas (Pengarah Operasi Asia Pasifik Zoll Medical Corporation) turut menyertai majlis berkaitan.