ADUN Komtar anjur program saringan massa, sasar 200 penduduk lokal

TEH Lai Heng (berdiri, kiri) menyaksikan ujian calitan terhadap salah seorang penduduk lokal di Pasar Chowrasta di sini pagi ini.

GEORGE TOWN – Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar dengan kerjasama firma kesihatan bukan kerajaan, pagi ini menganjurkan program saringan massa peringkat lokal di Pasar Chowrasta dengan menyasarkan lebih 200 penyertaan terutama golongan peniaga kecil di sini.

TEH Lai Heng

Bercakap kepada pemberita, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri antara lain memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) berhubung cadangan menganjurkan sekali lagi program saringan massa Penang Saring COVID-19 (PSC-19) memandangkan acara itu mendapat sambutan menggalakkan sebelum ini.

“Kerajaan Negeri melalui Jagdeep Singh Deo (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa merangkap ADUN Datuk Keramat) tengah berbincang dengan semua pihak berkepentingan untuk melaksanakan program saringan tersebut (sekali lagi).

“Di samping itu, saya juga berharap peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan KKM dapat memperbaiki lagi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pasar awam kerana tidak lama lagi aktiviti ekonomi akan berjalan lebih ‘terbuka’,” ujarnya dalam sidang media ringkas di sini pada 14 September 2021.

Menjawab soalan pemberita, ADUN Komtar itu memberitahu bahawa sehingga malam tadi seramai 160 orang penduduk lokal mendaftar diri secara dalam talian.

Terdahulu, pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan pelaksanaan PSC-19 secara percuma bermula 5 Julai 2021 dengan sasaran penyertaan 40,000 individu meliputi kesemua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Pinang dengan melibatkan pembiayaan kira-kira RM3.52 juta.

Jagdeep, sebagai Exco yang bertanggungjawab melaksanakan PSC-19 memberitahu tujuan penganjuran program tersebut adalah untuk menjejaki ‘pembawa senyap’ wabak COVID-19 terutama mereka yang tidak mempunyai sebarang gejala walaupun telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin; untuk tindakan rawatan susulan daripada JKNPP dan KKM.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN