ADUN pelawa kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun sertai Program Asas Berenang Keselamatan percuma

AIR ITAM – Ibu bapa yang mempunyai anak berusia tujuh hingga 12 tahun dipelawa untuk mengikuti kursus Program Asas Berenang Keselamatan Air anjuran Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam yang akan diadakan pada 30 November ini.

ADUNnya, Joseph Ng Soon Siang dalam satu sidang media pagi ini berkata, beliau memperuntukkan sejumlah RM3,600 untuk menganjurkan kursus berkenaan.

“Bagi setiap peserta sepatutnya perlu membayar yuran sebanyak RM60 untuk mengikuti kursus (berenang) ini, namun saya akan menyediakan peruntukan untuk menaja penuh kursus keseluruhannya bernilai RM3,600, manakala lokasi ditaja oleh Kompleks Sukan Permata.

“Sesi ini terbahagi kepada dua dan setiap sesi terbuka kepada 30 orang sahaja.

“Keutamaan diberikan kepada kanak-kanak dari KADUN Air Itam dan DUN Air Putih,” ujarnya sambil memberitahu bahawa objektif utama penganjuran berkenaan adalah untuk menyediakan kemahiran asas berenang kepada kanak-kanak serta keselamatan asas di air sekiranya berdepan situasi kecemasan.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Khidmat Kemasyarakatan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rashidah Jalaludin.

Kursus terbahagi kepada dua sesi iaitu dari 7:30 hingga 9:30 pagi dan 9:00 hingga 11:00 pagi yang akan berlangsung pada 2, 4, 6, 9, 11 dan 13 Disember depan.

Selain itu, selaku Setiausaha bagi Persatuan Renang Pulau Pinang (PASA), Soon Siang berharap program terbabit mampu menyemai minat terhadap sukan renang.

“Mungkin ada diantara peserta yang minat dan berbakat dalam sukan renang, jadi secara tidak langsung boleh diketengahkan dalam sukan ini untuk menjadi atlet sekurang-kurangnya bagi menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) di masa akan datang,” ujarnya lanjut.

Bagi yang ingin menyertai program tersebut, sila hubungi Pusat Khidmat KADUN Air Itam di talian 04-8299143 atau 016-4219143.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN