ADUN saran kerajaan beri subsidi perkhidmatan bas perantara untuk pelajar sekolah di Berapit

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee menyarankan agar Kerajaan Negeri memberikan subsidi kepada perkhidmatan bas perantaraan bagi menggalakkan pelajar sekolah menggunakan pengangkutan awam.

Katanya, langkah itu juga dapat mengurangkan kos tambahan dikeluarkan ibu bapa pelajar yang terpaksa menggunakan perkhidmatan bas perantaraan Rapid Penang ekoran ketiadaan pengangkutan awam yang menghubungkan kawasan sekitar ke sekolah-sekolah dalam kawasan Berapit.

Keadaan jalan sekitar SMK Berapit yang kurang selamat untuk pelajar sekolah.

 

 

 

 

 

 

 

“Saya pernah menulis surat kepada Rapid Penang untuk meminta perkhidmatan bas bagi laluan tersebut tetapi telah diberitahu bahawa mereka tidak mempunyai bilangan bas yang mencukupi untuk membekalkan perkhidmatan kepada semua sekolah.

“Cadangan lain yang diberi oleh Rapid Penang adalah bas perantaraan seperti yang dilakukan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sama Gagah dengan membayar RM2,000 sebulan untuk sebuah bas pergi dan balik pada setiap hari sekolah, bagi memenuhi keperluan pelajar-pelajar di kawasan tersebut,” ujarnya yang juga terkejut apabila PIBG SMK Sama Gagah perlu menanggung kira-kira RM20,000 setahun bagi mendapatkan perkhidmatan bas di laluan kawasan sekolah mereka.

Ketika ditemui media di luar dewan persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 dekat Dewan Sri Pinang pagi ini, Lee Lee sekali lagi menzahirkan harapan agar Kerajaan Negeri dapat memberikan subsidi bagi perkhidmatan bas perantaraan yang membawa pelajar-pelajar ke sekolah.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapan perbahasan Belanjawan 2020 Negeri Pulau Pinang pada 5 November lalu, Lee Lee menyatakan harapan agar permohonan bagi pembinaan laluan pejalan kaki konkrit di sekitar SMK Berapit yang dimohon melalui Jabatan Kerja Raya Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dapat direalisasikan selewat-lewatnya tahun depan.

“Maklum balas Bajet Responsif dan Penyertaan Gender (GRPB) mendapati bentuk jalan yang direka di sekeliling SMK Berapit tidak selamat untuk pejalan kaki.

“Selain itu, di hadapan sekolah itu juga tidak mempunyai lintasan pejalan kaki menyebabkan para pelajar terpaksa berjalan jauh untuk melintas ke Perkampungan Berapit menggunakan jambatan yang mana keadaan ini akan membahayakan keselamatan mereka,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD