ADUN Seberang Jaya sedia beri khidmat terbaik

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Majlis Perasmian Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya di sini baru-baru ini membuktikan bahawa ADUN baru itu bersedia mencurahkan keringatnya kepada rakyat yang telah mengundi beliau pada Pilihanraya Umum Ke-13 yang lalu.

ADUNnya, Dr. Afif Bahardin berkata, majlis perasmian tersebut adalah untuk memaklumkan kepada penduduk Seberang Jaya bahawa beliau bersedia menjalankan tugas sebagai ADUN di situ walaupun pusat khidmat tersebut sudah mula beroperasi sejak Oktober lepas.

“Biarpun saya masih muda, tetapi saya komited untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ADUN dan melaksanakan amanat yang diberi oleh rakyat dengan sebaiknya.

“Saya harap dapat berkerjasama dengan penduduk Seberang Jaya untuk sama-sama menyelesaikan masalah rakyat di sini,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pusat Khidmat ADUN Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubuk) dan Abdul Jalil Che Ros (Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP).

Dalam perkembangan sama, seramai 135 Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dalam\ kawasan Seberang Jaya menerima watikah pelantikan bagi sesi 2013/2014  bersempena dengan perasmian pusat khidmat tersebut.

Menurut Afif, ahli JKKK di kawasan terbabit banyak membantunya semenjak menjadi ADUN dalam menangani masalah dihadapi rakyat.

Pusat khidmat bertempat di Taman Siakap di sini beroperasi pada setiap hari bekerja bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Hari Jumaat dibuka dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan tutup pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Sesi bersama ADUN adalah pada setiap hari Selasa dari jam 9 malam hingga 11 malam dan Khamis, 2 petang hingga 5 petang.