Dewan serbaguna setaraf antarabangsa di Seberang Jaya

Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Bandar Seberang Jaya bakal menjadi tumpuan apabila cadangan membina sebuah dewan serbaguna bersebelahan Kolam Renang Awam Seberang Jaya siap sepenuhnya pada Ogos tahun hadapan.

Pengarah Penang Development Corporation Consultancy (PDCC) yang bertanggungjawab dalam penyeliaan operasi, Soon Lip Chee berkata, projek tersebut diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada awal tahun ini.

“Projek yang menelan belanja sebanyak RM11.1 juta ini dimulakan pada 19 Ogos lalu di atas tanah seluas 4.9 ekar milik Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Skop projek ini adalah untuk membina bangunan dewan dua tingkat yang dapat menampung sehingga 1,000 orang dalam satu masa dan 500 lot tempat letak kereta,” katanya ketika mengadakan lawatan tapak projek di sini baru-baru ini.

Turut hadir sama, Pegawai Superintenden yang menyelia projek berkenaan, Ismail Ishak.

Tambah beliau, apabila projek yang dibina oleh syarikat Lumson Bina Engineering Sdn. Bhd. berkenaan siap sepenuhnya, ia akan diurus dan diselia pihak PDC.

Tambah Lip Chee, lawatan ke tapak projek terbabit adalah bagi memastikan kelancaran perjalanan projek memandangkan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.

“Daripada lawatan ini, boleh disimpulkan bahawa sebanyak 6.24 peratus perjalanan projek telah dicapai merangkumi pembersihan tapak projek, pemindahan tanah ke tapak projek dan juga penanaman cerucuk,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu, keadaan cuaca yang sering hujan telah menyebabkan proses perjalanan projek terlewat selama 13 hari, namun masih lagi tidak menjejaskan tarikh siap yang ditetapkan iaitu pada 18 Ogos 2014.

“Kita masih lagi dalam proses dan optimis projek ini akan siap sepenuhnya dalam tempoh masa 12 bulan pembinaan seperti yang ditetapkan,” ujar Ismail.