GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung mengesyorkan agar Kerajaan Negeri hari ini menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) untuk menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [4/667) di Negeri Pulau Pinang, yang dijadualkan berlangsung esok, sebelum Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini ‘melabuh tirai’ persidangan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Hubungan Negeri-Persekutuan memberitahu bahawa RUU itu wajar diteliti secara holistik terlebih dahulu sebelum dibentangkan, supaya tidak menghakis satu lagi hak mutlak negeri Pulau Pinang secara perlembagaan.
“Ingin ditegaskan di sini bahawa kebimbangan kami (Jawatankuasa Pilihan Hubungan Negeri-Persekutuan) bukan kerana kita anti alam sekitar atau anti pemulihan (alam semula jadi, (Pihak Berkuasa Negeri) Pulau Pinang mesti terus melindungi hutan, kawasan tadahan air, tanah bukit, warisan alam sekitar negeri dengan komitmen yang sekuat mungkin.
“Namun demikian, perlindungan alam sekitar tidak boleh dijadikan alasan untuk penghakisan secara beransur-ansur terhadap autonomi perlembagaan negeri,” jelasnya kepada pemberita dekat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada 13 Mei 2026.
ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Teng dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng turut sertai sidang media tersebut.
Mengulas lanjut, Hsiao-Leung menyatakan bahawa sebelum RUU tersebut dibentangkan untuk tujuan keseragaman dengan Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [Akta A1645], Kerajaan Negeri perlu terlebih dahulu mengkaji dari sudut perundangan untuk berunding, membuat pengecualian, memindah, atau menolak peruntukan yang dijangka menghakis kepentingan negeri.
“Kita (Pulau Pinang) tidak terikat dari sudut perlembagaan untuk menerima pakai pindaan tersebut secara keseluruhan dan mempunyai pilihan untuk tidak melaksanakannya.
“Kerajaan Negeri mesti bertindak cermat sebelum menerima pakai mana-mana undang-undang yang boleh melemahkan hak atau autonomi negeri secara langsung mahupun tidak langsung pada masa hadapan.
“Ini kerana, sejarah menunjukkan bahawa pemusatan kuasa jarang berlaku secara mendadak, sebaliknya ia berlaku secara beransur-ansur menerusi integrasi pentadbiran (antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri ataupun Pihak Berkuasa Tempatan, PBT).
“Apabila kuasa dan fungsi operasi berpindah ke peringkat lebih tinggi, ia jarang sekali dikembalikan semula kepada Kerajaan Negeri,” tegasnya.
Buletin Mutiara diberitahu bahawa Parlimen, menurut Fasal (I)(b) Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan, bagi maksud untuk menggalakkan keseragaman undang-undang bagi Negeri di Malaysia, telah membuat suatu undang-undang bernama Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [A1667] berkenaan pentadbiran, pengurusan dan pemeliharaan hutan dan pembangunan perhutanan.
Dan, bahawasanya menurut Fasal (3) Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan, akta tersebut tidak boleh berkuat kuasa di mana-mana Negeri sehingga undang-undang itu telah diterima pakai oleh suatu undang-undang yang diperbuat oleh Badan Perundangan Negeri itu:
Walaupun secara teknikal negeri masih mempunyai hak pada beberapa perkara berdasarkan Senarai Negeri seperti perhutanan, namun dari segi kawalan perundangan dan dasar, ia telah berpindah ke peringkat Persekutuan.
Contoh hak negeri yang berpindah kepada Persekutuan dan sehingga kini tidak lagi dikembalikan kepada Kerajaan Negeri, menurut Hsiao-Leung, adalah hak memiliki dan menguruskan industri air apabila Akta Industri Perkhidmatan Air 2026 [Akta 655] serta Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) diwujudkan.
Menurut beliau, Pengenalan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] turut mengakibatkan hak pengurusan sampah tidak lagi dikembalikan kepada PBT.
Dengan wujudnya Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172], bidang kuasa dalam membuat garis panduan perancangan serta pembentukan Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan yang sebelum ini di bawah bidang kuasa PBT, perlu diselarikan dengan ketetapan Majlis Perancang Fizikal Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN