AED di Kompleks Sukan Badminton Bukit Dumbar, hadapi sebarang situasi kecemasan

BATU LANCANG – Kompleks dan pusat sukan adalah digalakkan untuk memiliki sebuah unit peralatan Difibrilator Luaran Automatik (AED) sebagai persediaan menghadapi sebarang situasi kecemasan tidak diduga berkait serangan kardiovaskular (jantung).

Perkara tersebut dinyatakan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pada Majlis Penyampaian AED oleh Lions Club dekat Kompleks Badminton Bukit Dumbar di sini baru-baru ini.

“Di negara-negara maju, AED banyak ditempatkan di lokasi-lokasi awam dan riadah sebagai langkah berjaga-jaga bagi menyelamatkan mangsa-mangsa serangan jantung yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Penggunaan AED adalah sangat mudah, sekiranya anda merasakan memandu kereta itu mudah, cara menggunakan AED adalah lebih mudah daripada itu,” jelasnya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Pengerusi Wilayah I Lions Club, Jimmy Ong; Gabenor Daerah Lions Club, Jeniffer Kim; Pengerusi Peringkat Zon Lions Club, Rayson Khoo dan ahli-ahli Lions Club Pulau Pinang.

Afif dalam pada itu turut memuji Lions Club Pulau Pinang yang sudi menyumbangkan satu unit AED untuk ditempatkan di sini.

Dalam pada itu, Jimmy memaklumkan, pihaknya dengan kerjasama Hospital Pulau Pinang (HPP) juga giat menjalankan program kesedaran dan cara penggunaan AED dalam kalangan orang awam.

“Ini sedikit sebanyak mampu membantu orang awam menghadapi situasisituasi tidak terduga,” jelasnya.}