RM954,000 selenggara, naik taraf 2 blok PPA Padang Tembak

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : VICTOR SEOW KOO TATT

GEORGE TOWN – Dua blok iaitu Blok E dan Blok J Projek Perumahan Awam (PPA) Padang Tembak dekat Air Itam bakal diselenggara dan dinaik taraf bermula Februari ini dengan peruntukan bernilai RM954,000.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan kerja-kerja menyelenggara dan telah melantik sebuah syarikat untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan.

“Memandangkan ia (PPA Padang Tembak) merupakan projek lama yang dibina pada 1969, kerja-kerja pemantauan sememangnya dilakukan secara berjadual di sini.

“(Dan) melalui pemantauan tersebut, pihak Bahagian Perumahan Negeri mendapati dua daripada sembilan blok yang terdapat di sini memerlukan kerjakerja penyelenggaraan memandangkan struktur lamanya telah mengalami keretakan.

“Lantaran itu, Kerajaan Negeri bersetuju membiayai  kos penyelenggaraan berjumlah RM954,000, dan ia (kerja-kerja penyelenggaraan) dijangkakan mengambil tempoh lima bulan untuk disempurnakan,” ujarnya kepada pemberita sejurus mengadakan lawatan di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir  Johari, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Padang Tembak, Loh Eng Kim serta wakil-wakil Bahagian Perumahan Negeri.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, sejak 2010 sehingga 2016, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM27, 817, 538. 28 bagi membiayai kos penyelenggaraan di tujuh projek perumahan awam di negeri ini, termasuk PPA Padang Tembak sebelum ini yang berjumlah RM5.56 juta.

“Pihak Kerajaan Negeri akan terus menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terutama projekprojek perumahan di bawah seliaan kami (Kerajaan Negeri),” ujarnya.}