Wujudkan sikap positif menderma darah

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

PERAI – Menyedari betapa besarnya nilai setitik darah kepada mereka yang memerlukan, Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Taman Perai/Emas menganjurkan Kempen Menderma Darah bertempat di Gelanggang Bola Keranjang, Taman Emas di sini baru-baru ini.

Program yang diadakan kali kedua tersebut adalah hasil kerjasama Hospital Besar Seberang Jaya (HBSJ) bertujuan mengisi bekalan tabung darah di tabung darah hospital berkenaan.

Timbalan Ketua Pasukan dan Setiausaha PPS Taman Perai/Emas, M. Turaisingam berkata, kempen kali pertama yang diadakan pada September lalu telah berjaya menarik lebih daripada 100 penyertaan penduduk setempat.

“Apa yang dijalankan oleh PPS Taman Perai/Emas adalah sebagai tanda sokongan membantu unit tabung darah bagi memastikan bekalan darah adalah sentiasa mencukupi.

“Melalui program ini, kami juga dapat mewujudkan sikap positif mengenai kepentingan dan kebaikan menderma darah,” katanya ketika
ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, masih ramai lagi yang tidak mengambil berat soal menderma darah dan lazimnya, kesedaran hanya akan timbul apabila keluarga atau saudara terdekat mereka memerlukan penderma darah untuk membantu.

Hadir sama, Exco Alam Sekitar, Kesihatan dan Masyarakat Penyayang yang juga merupakan Pengerusi PPS Negeri, Phee Boon Poh dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Perai, R. Subramaniam.

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Kempen Derma Darah anjuran PPS Taman Perai/Emas di sini barubaru
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Kempen Derma
Darah anjuran PPS Taman Perai/Emas di sini barubaru