Ahli majlis harap MBPP timbang laksana pembangunan semula unit perumahan usang

GEORGE TOWN – Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Sha’ari Md. Salleh meminta agar MBPP dapat mempertimbangkan pelaksanaan pembangunan semula unit-unit perumahan bertingkat tinggi di bawah kategori kos rendah yang telah usang dan tidak terancang di negeri ini.

Hal ini katanya, adalah disebabkan perumahan bertingkat tinggi atau flat-flat yang hanya berkeluasan minima antara 400 hingga 500 kaki persegi (k.p) dengan hanya dua bilik tidur tidak lagi sesuai untuk didiami masyarakat hari ini.

“Saya tertarik dengan pengumuman yang dibuat Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berhubung pembangunan semula Flat Taman Free School yang akan dijadikan sebagai projek perintis di bawah program pembangunan semula.

“Pembangunan semula yang lebih terancang perlu dilakukan terutamanya melibatkan flat-flat kos rendah usang, kotor dan kos penyelenggaraan yang semakin meningkat saban tahun.

“Melalui konsep ini, penduduk tidak perlu mengeluarkan duit atau berpindah sehingga unit rumah baru siap sepenuhnya di kawasan berhampiran.

“Sebaliknya, penghuni akan digantikan dengan saiz rumah yang lebih besar iaitu 700 k.p dan turut dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tempat letak kereta, kompleks serbaguna, taman rekreasi dan surau,” ujarnya pada ucapan penangguhan Mesyuarat Biasa MBPP di sini baru-baru ini.

Tambah Sha’ari, melalui pelaksanaan tersebut, sesebuah lokasi projek hanya akan dibangunkan semula sepenuhnya setelah semua penduduk selesai dipindahkan ke bangunan baru.

“Projek ini bukan sahaja memberikan lebih keselesaan kepada rakyat berpendapatan rendah, bahkan akan menambah pendapatan Majlis (MBPP) secara relatifnya dari segi penambahan penghuni dan ruang yang lebih luas,” jelas beliau.

} else {