Tawaran tender RTB Sg. Teluk Kumbar bakal dibuka awal 2016

GEORGE TOWN – Tawaran tender bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Teluk Kumbar, Bayan Lepas bernilai RM3 juta dijangka akan dibuka awal tahun hadapan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, perunding bagi projek berkenaan telah dilantik untuk mereka bentuk sistem berkenaan termasuk menaiktaraf rumah pam di sana.

Beliau berkata, kekerapan banjir di kawasan tersebut adalah disebabkan keadaan rumah-rumah di lokasi berkaitan yang lebih rendah dari permukaan sungai serta keperluan sistem pam yang lebih efisien bagi membolehkan proses mengepam air menjadi lebih sistematik.

“Ia adalah kawasan di mana kita tahu dan sedar bahawa ia adalah masalah yang dihadapi penduduk, justeru, kita akan segera mengatasi masalah banjir yang dihadapi supaya ia tidak berulang lagi,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Kempen ‘Pedestrian is King’ di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail; Ahli-ahli Majlis MBPP serta Ketua-ketua Jabatan MBPP.

Pada 24 November lalu, sebanyak 11 rumah di Teluk Kumbar terpaksa dipindahkan ke Dewan Teluk Kumbar ekoran peningkatan paras air akibat hujan lebat yang melanda seluruh Pulau Pinang.

Informasi yang diperoleh dalam media sosial menunjukkan bahawa banjir kilat turut melanda sebahagian besar kawasan di Bayan Lepas, Sungai Ara, Relau dan Balik Pulau setelah hujan lebat selama 90 minit bermula sekitar pukul 7.30 malam.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);