Pulau Pinang negeri paling sesuai bagi demonstrasi perkhidmatan 5G – Exco

BERTAM – Pulau Pinang turut tersenarai antara enam buah negeri yang bakal menjalani demonstrasi rangkaian perkhidmatan Generasi Kelima (5G) bagi tempoh antara Oktober 2019 sehingga Mac 2020.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo ketika ditemui, menzahirkan pengharapan agar pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat memberikan keutamaan kepada Pulau Pinang dengan mengambil kira pelbagai inisiatif pintar yang dibangunkan di negeri ini sejak 11 tahun lalu.

“Pulau Pinang telah memulakan langkah awal untuk mewujudkan bandar pintar sebagai sebahagian daripada Visi Penang2030 yang memfokuskan kekeluargaan dalam persekitaran hijau dan pintar yang mampu mengaspirasikan negara.

“Baik di bahagian pulau atau Seberang Perai, kita (Kerajaan Negeri) telah melaksanakan beberapa inisiatif yang lebih maju untuk menjadi bandar pintar dan semuanya berjalan dengan lancar sekali.

“Oleh itu, saya percaya bahawa Pulau Pinang merupakan negeri paling sesuai untuk menjalani ujian bagi projek demonstrasi 5G tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Digital @Seberang Perai dekat Pasar Raya Mydin Bertam, pada 5 Oktober lalu.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mohamud.

Dalam pada itu, Pegawai SKMM Bahagian Utara, Rizal Abd. Malek yang turut hadir pada majlis berkaitan berkata bahawa pelbagai aplikasi yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menarik perhatian SKMM untuk memperkenalkan perkhidmatan 5G di negeri ini.

“Sebagaimana yang diumumkan pada Isnin (30 September) lalu, Pulau Pinang tersenarai antara enam negeri bakal dilaksanakan projek demonstrasi 5G yang akan memberikan tumpuan kepada tiga fokus utama iaitu bandar pintar, industri pembuatan dan juga pelancongan.

“Di Pulau Pinang ketiga-tiga bidang tumpuan utama sudah ada dan kita (SKMM) akan gunakan platform demonstrasi 5G dalam tiga bidang utama yang ditetapkan ini,” jelasnya.

Terdahulu, Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak mengumumkan bahawa projek demonstrasi 5G akan dilaksanakan di 32 tapak 5G di enam negeri iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama enam bulan.

Difahamkan, projek tersebut bakal melibatkan komitmen lapan buah syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi ternama seperti Altel Communications Sdn. Bhd.; Celcom Axiata Bhd.; Digi.Com Bhd.; Telekom Malaysia Bhd.; edotco Group Sdn. Bhd.; Maxis Bhd.; Petronas dan U Mobile Sdn. Bhd. dengan pelaburan awal bernilai RM116 juta.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD