Ahli Parlimen peruntuk RM11,000 lancar Kelas Bimbingan UPSR, PT3 dan SPM percuma, pelajar diseru berdaftar

Admin

SUNGAI PINANG – Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N.Rayer hari ini melancarkan Kelas Bimbingan Percuma khusus untuk para pelajar yang akan menduduki peperiksaan di kawasan ini.

Rayer berkata, kelas yang akan memberi tumpuan kepada calon-calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkaitan akan dijalankan di Dewan MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) Kampung Maqbul, dekat Sungai Pinang di sini.

“Ia diadakan untuk memberi peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk memantapkan kemahiran pembelajaran mereka sebelum menghadapi peperiksaan besar.

“Saya sedar ramai kalangan pelajar yang berpotensi di dalam pelajaran, mungkin disebabkan faktor kurang kemampuan untuk membayar lebih, jadi diharap peluang ini akan digunakan sepenuhnya oleh para pelajar untuk fokus dan tekun,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bengkel UPSR, PT3 dan SPM di sini pagi ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong dan Ahli-ahli Jawatankuasa MPKK Kampung Maqbul.

Untuk tujuan berkaitan, Rayer memperuntukkan sejumlah RM11,000 untuk membayar khidmat empat guru berpengalaman dan bagi membiayai nota serta soalan-soalan ramalan peperiksaan.

“Buat sementara kita masih lagi membuka penyertaan, justeru ibu bapa di dalam kawasan Parlimen Jelutong yang meliputi kawasan Batu Lancang, Datuk Keramat dan Sungai Pinang dialu-alukan untuk menghantar anak-anak mereka mengikuti kelas bimbingan secara percuma ini.

“Bagi tiap-tiap peperiksaan (UPSR,PT3 dan SPM) diperuntukkan untuk 30 pelajar, walau bagaimanapun, jika mendapat sambutan lebih saya bersedia untuk menambah peruntukan sedia ada asalkan anak-anak ini mendapat peluang untuk mengikuti kelas bimbingan ini,” seru beliau.

Difahamkan, kelas bimbingan berkenaan akan dijalan dua kali seminggu iaitu pada setiap hari Sabtu dan Ahad.

Bagi yang berminat, pendaftaran boleh dilakukan di Pusat-pusat Khidmat ADUN Batu Lancang, Sungai Pinang dan Datuk Keramat.