PYDC anjur bengkel bantu kebolehpasaran kerja 

Admin

GEORGE TOWN – Dalam meningkatkan kebolehpasaran diri dalam bidang kerjaya, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) akan menganjurkan bengkel melalui Program Pemantapan Kerjaya Belia pada bulan Jun hingga Julai ini.

 

Menurut Exco Belia dan Sukan, Soo Lip Chee, program tersebut akan berlangsung pada 27 Jun, 18 Julai dan 25 Julai.

 

“Siri pemantapan kerjaya ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kemahiran-kemahiran teknikal dan insaniah para belia supaya dapat memenuhi keperluan majikan dan industri.

 

“Objektif program ini merangkumi pemantapan daya boleh kerja para belia mampu meningkatkan nilai diri mereka dalam pasaran kerja hari ini.

 

“Pada masa yang sama, latihan-latihan yang diadakan juga dapat menerokai potensi dan peluang belia dalam kerjaya yang diminati,” ujar beliau kepada pemberita dalam satu sidang media hari ini.

 

Antara program yang disediakan oleh PYDC adalah, bengkel Memahami Kehendak Majikan, Persediaan Resume and Tip Efektif Untuk Menghadiri Temuduga, Bengkel Pemerkasaan Belia Melalui Ekonomi Digital dan Bengkel Kesedaran Revolusi Industri 4.0.

 

Bengkel-bengkel tersebut boleh didaftarkan melalui https://bit.ly/workshoppydc1.

 

Bagi semakan tarikh, masa dan lokasi individu berminat boleh layari laman sesawang PYDC pydc.com.my, laman Facebook PYDC atau WhatsApp di talian 012-4010186.

 

Lip Chee berharap peluang ini digunakan oleh golongan belia untuk menerokai bidang baharu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya yang terkesan.

 

“Untuk itu saya juga mengalu-alukan golongan belia untuk layari laman web PYDC sekiranya berhasrat mencari peluang pekerjaan di mana 109 majikan sudah berdaftar.

 

“Diharap platform ini dapat bantu golongan-golongan yang mungkin hilang kerja selepas PKP, maka diharapkan dapat gunakan peluang ini merebut lebih 1,000 jawatan kosong ditawarkan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

 

Hadir sama, Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling dan penceramah-penceramah bengkel tersebut.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING