Ajar murid ikut silibus rasmi sekolah agama, elak pengaruh ideologi pelampau, tegas JAINPP

BERTAM – Pastikan proses pembelajaran murid-murid di Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan ‘sekolah pondok’ mengikut silibus rasmi yang pentadbir sekolah hantar ke Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP).

Pengarah Bahagian Pendidikan JAINPP, Ustaz Rosli Othman memberitahu bahawa langkah tersebut adalah demi memastikan semua sekolah aliran agama di negeri ini bebas daripada ideologi pelampau seperti Negara Islam Iraq dan Jajahannya (IS) atau Daesh.

Tegasnya, umat Islam di Pulau Pinang berpegang kepada fahaman yang sederhana, iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah mazhab Syafie.

“Fahaman pelampau ini mula daripada budaya saling mengkafir sesama Islam, seterusnya kepada menghalalkan (pertumpahan) darah sesama Islam, ini lah yang kita dapat lihat di luar negara.

“Saya tahu ada (pentadbir) sekolah hantar korikulum kita macam ini, tapi yang mengajar di sekolah adalah (tidak mengikut silibus dengan menyebut;) ‘Asy-Sya’irah ini adalah daripada kumpulan yang sesat’.

“Kita (pentadbir sekolah agama rakyat dan sekolah pondok) akan bertanggungjawab atas pentadbiran yang kita buat di sekolah, dan saya harap semua pembelajaran ikut silibus yang rasmi.

“Kerana, kita berpegang pada manhaj kesederhanaan, kita berpegang pada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang tidak akan merosakkan keagamaan kita,” jelas Rosli ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Penyerahan Suratcara Pendaftaran Jemaah Pengurusan & Ikrar Sumpah Bebas Jenayah Sekolah Agama Berdaftar Negeri Pulau Pinang 2019 pada 15 Januari 2019 dekat Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas di sini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay turut menyampaikan cermaah mengenai bahaya serta padah penularan fahaman pelampau di negara ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ayub Khan menyatakan bahawa angka kes tangkapan membabitkan suspek teroris di tanah air pada tahun 2018 menurun, berbanding tahun 2017.

“Tangkapan membabitkan IS ini lah, mungkin satu atau dua orang sahaja ditangkap daripada kalangan pelajar sekolah pondok

“Tangkapan ini melibatkan pelbagai peringkat, pensyarah universiti pun ada, pihak polis ada, pihak tentera ada, orang awam pun ada, tok guru agama pun ada; jadi dia tidak fokus pada satu-satu institusi,” ujarnya sambil memberitahu media sosial seperti Facebook merupakan instrumen paling berpengaruh dalam penularan ideologi pelampau dari luar negara ke atas rakyat Malaysia.

Lebih 500 pentadbir sekolah agama rakyat melafazkan Ikrar Bebas Jenayah di depan Ustaz Rosli serta Ayub Khan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD