Kementerian Pembangunan Luar Bandar peruntuk RM32 juta tingkat taraf hidup masyarakat luar bandar di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Sebanyak RM32 juta diperuntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi membangunkan projek-projek luar bandar termasuk membasmi kemiskinan di Pulau Pinang.

Pengarah KPLB Wilayah Utara, Hakmal Effendi Ishak berkata, peruntukan tersebut adalah melibatkan projek meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar termasuk membina dan membaik pulih rumah-rumah kampung, menaik taraf jalan perhubungan desa serta jalan luar bandar.

Hakmal Effendi menyerahkan buku Pelan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 yang dilancarkan November tahun lalu kepada Ketua Menteri.

“Walaupun Pulau Pinang dilihat sebagai negeri yang pesat membangun, namun masih terdapat beberapa kawasan seperti di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Selatan (SPS) dan Balik Pulau yang masih perlu diberi perhatian.

“Justeru, daripada jumlah tersebut sebanyak RM1.855 juta diperuntukan khusus untuk tujuan membina dan membaik pulih rumah-rumah kampung yang mempunyai geran pemilikan sendiri.

“(Dan) berdasarkan senarai semak, seramai 101 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini layak menerima bantuan di bawah peruntukan ini yang mana 90 rumah akan dibaik pulih, manakala dibina baru (11),” katanya semasa melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Penolong Pengarah KPLB Wilayah Utara, Siti Nazira A. Halim.

Dalam pertemuan selama 30 minit tersebut, Kon Yeow turut mencadangkan agar pihak KPLB mengkaji semula program-program sosial yang dirancang namun masih belum dilaksana seperti kad ‘I Penang’ yang dilihat mampu dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING