Akademi badminton pertama negeri di Kg. Buah Pala

KETUA Menteri bersama pucuk pimpinan Kerajaan Negeri dan wakil-wakil Yayasan ECM Libra ketika Majlis Pelancaran PLC dan PBA di Kampung Buah Pala di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri bersama pucuk pimpinan Kerajaan Negeri dan wakil-wakil Yayasan
ECM Libra ketika Majlis Pelancaran PLC dan PBA di Kampung Buah Pala di sini
baru-baru ini.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
BUKIT GELUGOR – Dalam tempoh 18 bulan, hasil sumbangan Yayasan ECM Libra dan tiga rakan kongsinya, Penang Learning Centre (PLC) dan Penang Badminton Academy (PBA) bernilai RM4 juta khas untuk kegunaan rakyat negeri ini bakal dibangunkan di atas tanah
Kerajaan Negeri seluas 2.9 ekar di Kampung Buah Pala di sini.

Projek tersebut bakal melengkapkan sebuah perpustakaan, tujuh kelas bahasa dan tuisyen, enam hingga lapan gelanggang badminton serta kantin.

Secara keseluruhan, PLC dan PBA bakal memberikan khidmat kepada masyarakat dari segi menyediakan lokasi unik di mana pelajar kurang bernasib baik akan mempunyai tempat yang sesuai untuk mengikuti kelas tuisyen dan mempelajari bahasa baru serta cemerlang dalam sukan badminton.

Antara bahasa yang akan diberi tumpuan ialah bahasa asing selain daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil selain penekanan terhadap kelas sains serta matematik yang juga bakal diimplementasikan. Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, inisiatif tersebut merupakan projek perpustakaan pertama dibina Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) dan merupakan PBA pertama di Pulau Pinang.

“Inisiatif tersebut bakal menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang lebih sesuai untuk didiami, belajar, bekerja, bermain dan sebagainya.

“Malah, ia juga bakal membentuk nilai kekeluargaan yang sihat dan pintar. Contohnya, apabila ibubapa menghantar anak mereka ke kelas di sini, mereka (ibu bapa) boleh beriadah dengan bermain badminton,’’ katanya pada Majlis Pelancaran PLC dan PBA di Kampung
Buah Pala di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer, ADUN Batu Uban, S. Raveentharan, ADUN Komtar, Ng Wei Aik, ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo, Ahli-ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ECM Libra, Datuk Kalimullah Hassan.

Guan Eng memberitahu, Pulau Pinang menyasarkan tiga teras utama pelan jangka pendek bagi meningkatkan kualiti pembelajaran serta ilmu pengetahuan rakyat dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan.

“Pertama, meraikan pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi menempatkan Asian Women Leadership University (AWLU) dikelola kolej wanita terpenting Amerika Syarikat, Kolej Smith ; Kedua, mewujudkan Penang Science Council (PSC) dalam mentransformasikan Pulau Pinang sebagai pusat sains dan teknologi ; Ketiga, ‘mengubah’ pelajar lemah ke tahap lebih baik.

Malah, Pulau Pinang juga berhasrat melahirkan lebih ramai jaguh dunia badminton seperti Datuk Lee Chong Wei,’’ ujarnya.