Akademi Rakyat perkasa akademik Balik Pulau

Admin
BANGUNAN Akademi Rakyat.

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

BALIK PULAU – Pembinaan Akademi Rakyat yang menjadi pusat ilmu bagi menggalakkan penerokaan kaedah-kaedah pembelajaran bersesuaian dengan penduduk setempat adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Balik Pulau sebagai hab pendidikan unggul.

Akademi hasil cetusan ilham Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd. Yusmadi Yusoff dalam membantu dan memberi peluang kepada masyarakat setempat khususnya yang kurang berkemampuan dalam bidang akademik.

Dengan visi membangun jiwa, ilmu dan akal, Akademi Rakyat bermatlamat untuk mewujudkan perpustakaan, aktiviti keilmuan melalui kursus-kursus jangka pendek dan pendidikan tambahan kepada anak-anak kecil serta golongan warga emas.

Mohd. Yusmadi berkata, Akademi Rakyat yang diinspirasikan daripada kejayaan Yayasan Anda (dipelopori Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah sebahagian daripada usahanya untuk memperkasakan komuniti desa terutama di Balik Pulau.

“Pendidikan merupakan asas kepada kemajuan dan kelangsungan hidup masyarakat bertamadun dalam melahirkan generasi terdidik yang berjasa.

“Fokus utama adalah perkasakan komuniti setempat dan keupayaan membangun (jati diri). Justeru, pengetahuan asas dan kemahiran asas perlu dipupuk secara harmoni melalui penubuhan akademi ini,” ucap beliau pada Majlis Perasmian Akademi Rakyat di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hadir menyempurnakan majlis berkenaan. Turut diraikan adalah, para pelajar kurang berkemampuan yang menerima cek sumbangan khas.

Serentak itu, Guan Eng menegaskan bahawa, dalam mendepani arus globalisasi, pendidikan menjadi kriteria penting bagi menterjemahkan kejayaan yang tiada tolok bandingnya.

“Pendidikan ibarat obor yang akan menerangi dan mengubah kehidupan manusia sejagat.

“Justeru, penduduk setempat wajar mengambil peluang yang ada untuk memenugi ilmu di dada agar tidak tenggelam ditelan arus kemodenan,’’ ujarnya.

SEBAHAGIAN pelajar yang menerima sumbangan cek khas pada Majlis Perasmian Akademi Rakyat di sini baru-baru ini.
SEBAHAGIAN pelajar yang menerima sumbangan cek khas pada Majlis Perasmian
Akademi Rakyat di sini baru-baru ini.
BANGUNAN Akademi Rakyat.
BANGUNAN Akademi Rakyat.