Rundingan semula sisa pepejal jimat wang rakyat

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) mengadakan rundingan semula harga pengurusan sisa pepejal berjaya mengurangkan kos sebanyak RM 11.2 juta (42.4 peratus) setiap tahun untuk tempoh tiga tahun dengan penjimatan keseluruhan sebanyak RM33.5 juta membabitkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, setelah mengambil alih pemerintahan, Kerajaan Negeri PR telah mengadakan rundingan semula pengurusan sisa pepejal sedia ada yang tidak berkepentingan awam, harga terlalu tinggi dan merupakan salah satu projek kroni.

“Hakikat tersebut terbukti apabila Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan wang rakyat dan menolak kroni dengan pengurangan kos berkenaan,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Pengurusan Sisa Pepejal Pulau Burong di sini baru-baru ini.

Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Pengurusan Sisa Pepejal Pulau Burong untuk tempoh 20 tahun berlangsung bersama-sama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) selaku PBT yang sebelumnya bertanggungjawab menjalankan tugas pembersihan, pengutipan, pemindahan dan pelupusan sampah di negeri ini.

Perjanjian tersebut adalah di antara PBT dan Syarikat PLB Terang Sdn. Bhd. (PLB Terang) yang terpilih di antara lima syarikat layak bagi menguruskan tapak pelupusan Pulau Burong sedia ada iaitu di fasa dua yang hampir penuh.

Pengurusan tersebut termasuk membina sebuah tapak pelupusan sisa pepejal sanitari taraf IV yang baru di fasa tiga dan satu loji merawat sisa kumbahan serta lendir (leachate).

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco-exco Kerajaan Negeri, Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan PLB Terang Sdn. Bhd., Datuk Ong Choo Hoon.

Guan Eng memberitahu, dalam menjayakan inisiatif Public Private Partnership (PPP), Kerajaan Negeri berpegang pada prinsip ‘Think Global, Act Local’ demi memastikan semua usaha mestilah dijalankan orang tempatan.

“Berpandukan itu, Pulau Pinang telah menarik diri daripada skim penswastaan di bawah Akta 672 dan memilih untuk menguruskan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam melalui PBT dengan mekanisme sendiri dan tidak menggunapakai Syarikat e-Idaman
sebagai syarikat konsesi seperti sebelum ini.

“Kerajaan Negeri yakin kedua-dua PBT telah menjalankan tugas dengan efektif dan berkesan. Tambahan pula, ia juga dapat menjimatkan wang dengan mengurangkan perbelanjaan,” ujarnya.