Aktifkan semula MC supaya kerja-kerja hakiki penyelenggaraan dapat dilaksanakan – Kon Yeow

KETUA Menteri (berbaju putih) mengadakan sesi temu bincang dengan para pemilik kediaman berstrata di Flat Taman Idaman, Bukit Tambun di sini pada petang tadi.

BUKIT TAMBUN – Semua pemilik tetap kediaman berstrata mesti berusaha mengaktifkan semula perbadanan pengurusan (MC) serta membayar fi perkhidmatan penyelenggaraan berwajib masing-masing demi memastikan kerja-kerja pembaikan hakiki di kawasan milikan bersama dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata demikian semasa mengadakan sesi temu bincang dengan penduduk Flat Taman Idaman di sini pada 30 Disember 2022.

“Saya berasa MC perlu diaktifkan semula, ejen (pengurusan penyelenggaraan) yang dilantik perlu bekerja dengan lebih keras untuk memberi kesedaran kepada penghuni supaya membayar (fi) penyelenggaraan perkhidmatan agar dana yang dikutip itu melakukan perkara hakiki (seperti) membina semula jalan dan parkir (manakala) menukar bumbung itu adalah pembiayaan luar jangka, mungkin memerlukan kutipan tambahan daripada pemilik.

“Selagi wang (kutipan penyelenggaraan) tidak mencukupi, mutu pengurusan (penyelenggaraan) kediaman berstrata terjejas kerana tidak ada dana yang mencukupi.

“(Justeru,) kita (Kerajaan Negeri) mahu penghuni atau penduduk faham tentang peranan masing-masing,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah dan Ekonomi dan Komunikasi.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu bahawa dengan mengaktifkan semula MC, ia sekali gus membolehkan mereka memohon peruntukan skim penyelenggaraan perumahan berkaitan yang disediakan sama ada pada peringkat Kerajaaan Negeri mahupun Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow turut mengulas mengenai projek cadangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk menaik taraf padang dan taman rekreasi berhampiran Taman Idaman di sini.

“Kita (Kerajaan Negeri) harap taman (rekreasi) yang cukup luas ini dapat dijadikan sebagai ruang awam bagi menggalakkan aktiviti komuniti dengan pelbagai kemudahan demi memenuhi beberapa golongan pengguna.

“Kita tahu soal peruntukan merupakan suatu cabaran bagi pihak kerajaan, kerja-kerja (menaik taraf padang dan taman rekreasi di sini) kalau pun dilaksanakan, mungkin secara fasa dan bukan secara sekali gus mengikut perancangan (MBPP),” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada penduduk lokal yang tampil menyatakan pendapat berhubung projek awam yang dicadangkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; wakil MBSP; wakil Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (PDTSPS) dan kerani Pejabat MC Flat Taman Idaman, Ramlan Rasdi turut sertai sidang media serta lawatan tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI