Kesiapsiagaan anggota Skuad Pantas hadapi bencana dipuji

GEORGE TOWN – Segala persiapan awal dan kesiapsiagaan anggota Skuad Pantas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana sepanjang tempoh monsun timur laut tahun ini dipuji.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, bagi pihak Kerajaan Negeri beliau amat bersyukur kerana mempunyai Skuad Pantas yang sentiasa bersedia untuk bertindak pada bila-bila masa.

 

JAGDEEP Singh Deo ketika berucap pada Majlis Penghargaan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa kepada Anggota Skuad Pantas MBPP di sini.

 

“Saya yakin bahawa anggota Skuad Pantas MBPP akan terus memberi khidmat bakti dalam mendepani bukan sahaja peralihan monsun tetapi juga perubahan iklim.

 

“Kita perlu cekal dan terus mempergiatkan lagi inisiatif hijau menjelang tahun baru ini dan akan meneruskan usaha ini pada masa hadapan sejajar dengan Visi Penang2030,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada semua anggota Skuad Pantas yang terlibat.

 

Jagdeep, yang berucap pada Majlis Penghargaan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa kepada Anggota Skuad Pantas MBPP, juga berharap segala perancangan yang boleh mengurangkan impak krisis perubahan iklim dapat diteruskan.

 

“Sebagai contoh, setakat hari ini, kita (Kerajaan Negeri melalui MBPP) telah berjaya menanam lebih 440,000 pokok dan saya percaya dalam perancangan untuk menanam lebih banyak lagi (pokok).

 

“Lampu jalan yang ditukar ke diod pemancar cahaya (LED) dan penggunaan panel solar di fasiliti milik MBPP seperti di bangunan Jabatan Penguatkuasaan; Kompleks Sukan Bandaraya; Pusat Kawalan Vektor dan Veterinar; Pasar Chowrasta serta di Kompleks Pasar Awam dan Balai Rakyat Bayan Baru juga perlu dibanyakkan lagi.

 

“(Dan) paling penting adalah komitmen dan kesiapsiagaan daripada wira-wira kita iaitu wira kuning, wira hijau, wira merah dan anggota penguat kuasa,” katanya.

 

Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan kepada semua 397 anggota Skuad Pantas.

 

“Tahun 2022 adalah tahun yang mencabar namun dengan semangat berpasukan dan sentiasa berganding bahu, kita (MBPP) dapat melaksanakan amanah menjaga bandar raya.

 

“Saya bersyukur kerana tiada insiden besar yang berlaku tahun ini kerana kita telah mengambil inisiatif membersihkan longkang dan laluan air lebih awal sebelum berlakunya monsun,” jelasnya.

 

Usai ucapan, Tung Seang dan Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran serta Ahli-Ahli Majlis kemudiannya mengiringi Jagdeep untuk menyampaikan sijil penghargaan dan sumbangan tunai kepada wakil Skuad Pantas.

 

Jabatan Perkhidmatan Perbandaran yang mempunyai keanggotaan paling ramai dalam Skuad Pantas iaitu 240 orang menerima sumbangan berbentuk baucar dengan nilai sebanyak RM12,000; diikuti oleh Jabatan Penguatkuasaan (57 orang, RM2,850); Jabatan Landskap (50 orang, RM2,500) dan Jabatan Kejuruteraan (50 orang, RM2,500).

 

Dalam perkembangan berasingan, Jagdeep memaklumkan bahawa senarai akhir barisan Ahli Majlis bagi kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diluluskan dalam Mesyuarat Exco pada minggu lepas dan akan diumumkan pada minggu pertama bulan Januari 2023.

 

Selain itu, garis panduan sewaan jangka pendek bagi kediaman berstrata dan hartanah bertanah akan dimuktamadkan pada Januari 2023.

 

“Sama ada awal atau akhir Januari saya tak pasti kerana kini wujud kekangan melibatkan undang-undang bagi hartanah bertanah.

 

“(Dan) saya bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan (Kerajaan Tempatan) serta beberapa Menteri lain berkaitan termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri Undang-Undang & Reformasi Institusi) di Putrajaya pada Januari nanti.

 

“Walau bagaimana sekali pun, bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan pemilik unit atau kediaman, garis panduan ini perlu dikuatkuasakan,” katanya.

 

JAGDEEP Singh Deo (berkemeja putih) dan Ar. Yew Tung Seang ( dua dari kiri) merakam gambar bersama-sama ‘wira hijau’.
AKSI ‘wira kuning’ ketika bergambar bersama-sama dif kehormat pada majlis berkaitan di sini.
ANGGOTA Penguatkuasaan juga tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan bersama-sama Exco dan Datuk Bandar.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MBPP