Peroleh tujuh sijil ISO, MPSP sekali lagi diiktiraf MBOR

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya memperoleh satu lagi Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti atau ISO, iaitu Pensijilan Sistem Anti-Bribery sekaligus tersenarai dalam The Malaysia Book of Records (MBOR).

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, anugerah kali ini adalah lebih bermakna kerana pengiktirafan diterima bukan sahaja di peringkat PBT (pihak berkuasa tempatan), malah MPSP menjadi organisasi pertama mendapat Sijil ISO daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd.

“Pencapaian MPSP bukan hanya mendapat pengiktirafan pada aspek kualiti, malah dalam aspek penyediaan program-program juga.

“Sebagai contoh, dalam program I Penang Run: Seberang Perai 2017, MPSP dan Kerajaan Negeri dinobatkan sebagai penganjur bagi acara sukan Fun Run terbesar di Malaysia.

“Selain itu, kita (MPSP) juga menerima Sijil MBOR sempena program Penanaman 3002 batang Pokok Tecoma yang mana MPSP diiktiraf sebagai penganjur bagi ‘The Largest Tecoma Tree Planting Event’,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil MBOR di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; wakil daripada MBOR, Siti Hajar Johor dan Ahli-ahli Majlis MPSP.

Rozali berkata, selain Pensijilan, MPSP juga menitik beratkan pengiktirafan rakyat seperti mana disarankan Kerajaan Negeri dengan memperkenalkan konsep yang lebih inklusif.

“Antaranya, kami (MPSP) menyediakan jurubahasa isyarat dalam program-program utama supaya semua warga Seberang Perai terutamanya orang kurang upaya (OKU) dapat sama-sama memahami serta mengikuti kandungan program yang dianjurkan,” ujarnya.

Justeru, Rozali menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan seluruh warga Seberang Perai kerana menunjukkan sokongan yang baik kepada MPSP.

“Saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan untuk menjadikan Seberang Perai sebagai Bandaraya Rendah Karbon dan Bandaraya Pintar menjelang tahun 2020,” jelasnya.

Terdahulu, MPSP disenaraikan dalam MBOR selepas memperoleh enam Pensijilan ISO, iaitu Sistem Pengurusan Kualiti, Sistem Pengurusan Alam Sekitar, Sistem Pengurusan Tenaga (OHSAS), Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMS), Sistem Pengurusan Persekitaran Berkualiti 5S (QEMS) dan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat.