Alu sebarang perancangan asal perjuang kebajikan rakyat – KM

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI


GEORGE TOWN– Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kupa di sini baru-baru ini.

Dalam pertemuan selama sejam itu, Guan Eng dan Kupa diberi taklimat ringkas berhubung perkembangan ekonomi dan sosial serta peluang-peluang pelaburan di negeri ini oleh salah seorang pegawai khas di sini.

Hadir sama, Konsul Kehormat Australia ke Pulau Pinang, Datuk Vincent Loh dan Setiausaha Kedua, Elizabeth Wright.

Selain memberi fokus ke arah usaha mempererat kerjasama dalam pendidikan tinggi serta menarik pelabur dari Australia ke Pulau Pinang, isu-isu politik semasa turut disentuh dalam pertemuan berkenaan.

Guan Eng berkata, tidak semua perancangan yang dibuat Kerajaan Persekutuan ditolak Kerajaan Negeri sekiranya ia mampu memberi manfaat kepada sebahagian besar rakyat di Pulau Pinang.

Malah, katanya, Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang perancangan Kerajaan Persekutuan sekiranya ia menepati dasar Kerajaan Negeri yang memperjuangkan kebajikan rakyat.

Dalam pada itu, Kupa turut menyuarakan bahawa beliau berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dasar, polisi dan perancangan Kerajaan Negeri pada masa hadapan sungguhpun tempoh perkhidmatan beliau tamat pada Disember ini.