Malaysia perlu kembali kepada asas pembentukan negara – Afif

GEORGE TOWN – Malaysia memerlukan satu anjakan paradigma atau ‘jump start’ dalam membina semula ke arah sebuah negara yang lebih progresif.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu, jump start yang dimaksudkan beliau bukanlah melahirkan sebuah negara baharu, namun ianya memperbaharui keseluruhan sistem.

“Kita perlukan satu reformasi sistem yang menyeluruh dalam semua agensi, kita bukan hendak buat satu negara baharu…tetapi bentuk dan kembalikan kepada asas pembentukan negara Malaysia seperti ketika permasyhuran kemerdekaan yang pernah
dinyatakan oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj,” ujarnya pada forum Malaysia Baharu, Apa Anak Muda
Mahu yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Panelis lain terdiri daripada Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Peguam Hak Asasi Manusia, Syahredzan Johan; Pengendali Pusat Khidmat Rakyat kawasan Seberang Perai Selatan (SPS), Sara Ayuni dan Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), Thing Siew Shuen.

Antara isu yang menjadi kupasan adalah seperti perpaduan kaum; perundangan dan perlembagaan; pembangunan kemudahan, kanak-kanak dan remaja serta alam sekitar yang dikendalikan oleh Adam Adli selaku moderator.

Menurut Afif, negara kini ketandusan pemimpin yang berwibawa di peringkat Pusat yang mampu untuk memacu Malaysia ke arah kegemilangan.

“Saya percaya anak muda pada hari ini mahukan kepimpinan yang berwibawa, mahukan pemimpin yang bukan cakap retorik semata-mata, tetapi kita (anak muda) mahukan pemimpin yang mampu selesaikan masalah-masalah rakyat.

“Ini sangat penting dalam pembawakan sebuah negara bangsa yang maju,” katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Forum yang berlangsung hampir tiga jam itu turut memberi peluang kepada hadirin untuk mengemukakan soalan serta pandangan dalam melahirkan Malaysia Baru sekiranya Pakatan Harapan mampu mengorak langkah ke Putrajaya.