Anjur kejohanan paintball tarik pelancong

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKFILI

GEORGE TOWN – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail menyifatkan bahawa kejohanan paintball anjuran pihaknya di sini baru-baru ini adalah berjaya apabila memperoleh 44 penyertaan termasuk sebuah pasukan dari Indonesia.

Perkara tersebut diumumkan beliau pada ucapan Perasmian Kejohanan Paintball Dato’ Yang di- Pertua MPPP di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, penganjuran berkenaan adalah sejajar dengan usaha untuk menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara bagi menyahut hasrat Kerajaan Negeri ke arah menjadikan negeri ini Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

“Pada awal tahun lalu, Majlis (MPPP) telah menganjurkan kejohanan sama buat kali pertama dan hanya memperoleh 14 penyertaan sahaja.

“Lanjutan itu, Majlis (MPPP) juga mengambil inisiatif menganjurkan Kejohanan Paintball Piala Terbuka MPPP dengan 20 penyertaan sahaja.

“Dengan sambutan amat menggalakkan tahun ini, adalah menjadi harapan MPPP untuk menjadikan negeri ini sebagai salah satu destinasi utama sukan paintball dan platform untuk para peserta menunjukkan kepakaran dalam sukan ini,” ujarnya.

Kejohanan Paintball Dato’ Yang di-Pertua MPPP terbahagi kepada dua kategori iaitu Mekanikal dan Elektronik. Johan akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai, trofi serta medal, hamper dan sijil penyertaan.