Sokong usaha hijau, seru Exco

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Suka sama suka! Prinsip dagangan sistem barter yang diamalkan dahulu kala dijadikan asas penganjuran Karnival Tukar Dagang Hari Bumi 2014 yang berjaya menarik kira-kira 50 ‘pedagang’ di sini baru-baru ini.

Penganjuran tahun ke-tiga oleh Penang Green Council (PGC) dengan kerjasama Occupy Beach Street (OBS) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) tersebut diadakan sempena Hari Bumi yang disambut pada 22 April setiap tahun.

Karnival berkenaan menyediakan platform untuk para peserta saling bertukar barang dagangan yang masih dalam keadaan baik dan dapat digunakan tanpa melibatkan urus niaga tunai.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang hadir merasmikan karnival tersebut, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, sumbangan untuk menjamin Pulau Pinang menjadi sebuah negeri yang lebih Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat adalah diperlukan.

“Wawasan untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat adalah mustahil tanpa kerjasama daripada semua pihak.

“Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, saya menyeru supaya masyarakat umum menyokong usaha-usaha ke arah ‘hijau’ dengan mengamalkan amalan kitar semula, mengurangkan sisa, kurangkan penggunaan sumber yang tidak dapat diperbaharui dan pengurusan sumber sedia ada dengan bijak serta cekap.

“Ini kerana, setiap hari esok merupakan harapan yang baru kepada setiap individu, tetapi adalah terpulang kepada kita untuk mengekalkan kelestarian tahun-tahun mendatang,” ujarnya pada upacara Perasmian Karnival Tukar Dagang Hari Bumi 2014 di Lebuh Pantai baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Pengurus Besar PGC, Thing Siew Shuen, Ahli Majlis MPPP, Muhammad Sabri Md. Osman dan Joseph Ng Soon Siang.

Pelbagai barangan tukar dagang memenuhi kehendak dan minat antaranya perkakasan dapur, barang mainan kanak-kanak, buku,
alatan tulis dan sukan.

Inisiatif Hijau telah dimulakan sejak tahun 2011 apabila Kerajaan Negeri mengumumkan ‘Hari Tanpa Beg Plastik’, larangan penggunaan bekas makanan polisterina dan Hari Tanpa Kereta pada setiap hari Ahad.