Qaryah anjur Jejak Asnaf bantu 40 terpilih

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Seramai 40 penduduk setempat menerima sumbangan berupa 20 jenis barang keperluan, termasuk sekampit beras dan sekilogram gula dalam program Jejak Asnaf Fakir dan Miskin anjuran sendiri Qaryah Masjid Timah di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man dalam ucapan perasmiannya merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur Jejak Asnaf yang dipengerusi Ustaz Abdul Shukor Hassan atas inisiatif tersebut.

“Saya ucap tahniah apabila Jejak Asnaf yang kita cadangkan untuk dilaksanakan Zakat Pulau Pinang (ZPP) turut dianjurkan di sini.

“Apa yang dilakukan oleh jawatankuasa program Jejak Asnaf ini adalah suatu terjemahan pada sunnah, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. (yang bermaksud): Barangsiapa tidak mengambil peduli urusan (kejiranan) sesama Islam ini, maka tidaklah tergolong dalam kalangan mereka (masyarakat Islam),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Ustaz Abdul Shukor dan Ustaz Samsuddin Ismail (Timbalan Pengerusi Masjid Timah) turut berucap pada majlis ‘amal Islami’ itu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Dan Pengurusan Qaryah MAINPP merangkap Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Rosidi Hussain.

Mohd. Salleh memberitahu, golongan di bawah asnaf Fakir, Miskin, ‘Fi Sabilillah’ dan sebagainya wajar mengisi borang berwajib terlebih dahulu, sekiranya mahu permohonan masing-masing dipertimbang ZPP.

“Wajib isi borang untuk dipertimbang, kerana itu prosedur ZPP,” jelas Mohd. Salleh sambil menolak dakwaan pihak tertentu kononnya MAINPP acapkali mengabaikan golongan asnaf yang layak daripada menerima zakat.

Difahamkan, program Jejak Asnaf itu mula dianjurkan di peringkat Surau Taman Pauh Jaya tiap-tiap bulan sejak setahun lepas, sebelum diperluas menjadi program bulanan di Qaryah Masjid Timah pula.