Anugerah Hijau – SK Permatang To’ Kandu pertahan gelaran

oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Kemenangan dua tahun berturut-turut termasuk tahun ini pada pertandingan Anugerah Hijau Peringkat Negeri Pulau Pinang menyuntik semangat Sekolah Kebangsaan Permatang To’ Kandu, Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah (SPT) untuk terus menambah baik inovasi sedia ada dan mengekalkan kemenangan pada penganjuran akan datang.

Kegirangan tersebut disuarakan guru besar sekolah terbabit, Mohd. Shukri Abd. Rahman kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kemenangan tersebut adalah hadiah kepada semua kakitangan sekolah dari peringkat bawahan sehingga atasan dan tidak terkecuali kepada semua warga pelajar sekolah.

Jelas Mohd. Shukri, sekolahnya memenangi kemenangan berganda iaitu Johan peringkat negeri bagi dua tahun berturut-turut (2012 dan 2013) dan Anugerah Sekolah Hijau di peringkat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) juga pada tempoh sama.

“Semua ini adalah hasil usaha dan pembabitan guru, jawatankuasa serta para pelajar.

“Kami akan gunakan hasil hadiah ini sebaik mungkin dalam menambaik keperluan inovasi hijau yang baru dan lama.

“Lanjutan itu, lawatan juga akan diadakan bagi menjalin hubungan mesra di antara sekolah-sekolah yang
berjaya dengan harapan idea dan teknologi dapat ditukar pakai,’’ jelasnya pada Majlis Perasmian Anugerah Hijau 2013 di Komtar baru-baru ini di sini.

Menurutnya, kejayaan berkenaan bermula pada tahun 2010 apabila beliau mendapat idea untuk mewujudkan taman-taman mini di persekitaran sekolah.

“Jawatankuasa pelaksana ditubuhkan pada 2011 bagi menggerakkan semua program hijau dengan lancar,” ujar Mohd. Shukri.

Sekolah Kebangsaan Permatang To’Kandu sebelumnya juga pernah mengungguli pingat gangsa (2011) bagi Anugerah Sekolah Hijau Peringkat MPSP dan Anugerah Sekolah Lestari Rakan Alam Sekitar peringkat kebangsaan.

Naib Johan bagi kategori sekolah rendah dimenangi Sekolah Kebangsaan Sungai Rusa manakala, kategori
sekolah menengah, Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (Johan) dan Sekolah Menengah Han Chiang (Naib Johan).

Dalam pada itu, menurut Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Insentif Inovasi Hijau Pulau Pinang untuk menggalakkan inovasi dalam penyelesaian kemampanan alam sekitar yang berdaya maju dan terpakai untuk menangani degradasi alam sekitar atau kurang jejak karbon.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), Thing Siew Shuen.

Bersempena majlis tersebut, turut diadakan adalah Anugerah Video Hijau dan Kewartawanan Hijau meliputi empat kategori iaitu segmen Bahasa Melaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

Pelaporan berita bagi kategori Bahasa Malaysia dimenangi M. Gokina Morganan dari akhbar Sinar Harian, Oh Chin Eng (Bahasa Inggeris) dan Oon Khar Yong (Bahasa Cina).

Penulisan rencana masing-masing dimenangi M. Gokina Morganan (Bahasa Melayu), Christina Chin Swee
Gaik (Bahasa Inggeris) dan Por Lee Yen (Bahasa Cina).

Manakala bagi Anugerah Video Hijau, tempat pertama dimenangi Jack Ng Wei Kiat yang membawa pulang wang tunai RM5,000, kedua Mohammad Hashril Ashman Mohammad Izar (RM4,000) dan Ch’ng Beng Chian tempat ketiga (RM3,000).