Anugerah Kewartawanan Hijau bukti komitmen lindungi alam sekitar

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNAnugerah Kewartawanan Hijau dan Pertandingan Green Video 2012 dianjurkan Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini Berjaya mengetengahkan 14 penyertaan keseluruhannya mambabitkan pelaporan berita, penulisan rencana dan 13 penyertaan bagi Pertandingan Green Video 2012.

Anugerah dan pertandingan tersebut adalah hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Penang Green Council (PGC), Han Chiang College, KDU College dan Two Studio.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, objektif penganjuran anugerah dan pertandingan tersebut adalah bagi memupuk kesedaran berpanjangan tentang pentingnya persekitaran yang hijau, bersih dan sihat.

“Kenapa kita mensasarkan golongan media untuk anugerah ini? Ini adalah kerana mata pena adalah lebih tajam daripada sebilah pedang. Melalui sebuah laporan ataupun berita yang disiarkan, ianya mampu mencipta kesedaran kepada orang ramai,” ujarnya ketika majlis sidang media bagi mengumumkan keputusan Anugerah Kewartawanan Hijau dan Pertandingan Video 2012 di sini baru-baru ini.

Sementara itu Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Komunikasi Massa, Kolej KDU Pulau Pinang, Ng Miew Luan selaku ketua pengadil berkata, Anugerah Kewartawan Hijau 2012 merupakan platform terbaik untuk para wartawan dan akhbar menyelami isu-isu alam sekitar di Negeri Pulau Pinang.

“Ini adalah cara terbaik dan merupakan satu platform buat para wartawan dan akhbar untuk membuktikan komitmen dan tekad masing-masing dalam usaha melindungi alam sekitar,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, wartawan akhbar The Star menunjukkan keputusan yang cemerlang apabila Berjaya menggondol semua kategori Bahasa Inggeris yang dipertandingkan. Manakala, wartawan akhbar Sinar Harian Edisi Utara, Gokina Morganan pula memenangi kategori Penulisan Rencana Bahasa Melayu dan wartawan Nanyang Siang Pau, Bryan Lai memenangi anugerah bagi kategori Bahasa Cina.

Kesemua pemenang membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai mengikut kategori masing-masing.

Dalam pada itu, Boon Poh turut mengumumkan pemenang bagi Pertandingan Green Video 2012, di mana filem pendek berjudul, Wilful Blindness hasil karya Loh Kar Sang muncul juara dan membawa pulang wang tunai, RM3,000. Naib Juara, Timothy Poy (Go Green) dan tempat ketiga, Loo Wei Jian (Protection of the Environment).

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar selaku Pengerusi Anugerah Kewartawanan Hijau dan Pertandingan Green Video 2012, Ng Wei Aik.

PARA pemenang Anugerah Kewartawanan Hijau dan Pertandingan Green Video 2012 bergambar kenangan bersama-sama Phee Boon Poh (duduk tiga dari kiri), Ng Wei Aik (duduk dua dari kiri) dan para pengadil di Komtar di sini baru-baru ini.
PARA pemenang Anugerah Kewartawanan Hijau dan Pertandingan Green Video 2012 bergambar kenangan bersama-sama Phee Boon Poh (duduk tiga dari kiri), Ng Wei Aik (duduk dua dari kiri) dan para pengadil di Komtar di sini baru-baru ini.