Jambatan Kedua siap September 2013

Admin

GEORGE TOWNPembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang kini adalah dua peratus mendahului jangka masa ditetapkan dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2013.

Pengarah Pembinaan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Hamizol Ngah berkata, peratusan tersebut turut meliputi bahagian inter-change membabitkan kawasan Batu Maung, Bayan Lepas dan Batu Kawan, Seberang Perai Tengah (SPT).

“Sehingga kini, kita telah mencapai 82 peratus iaitu dua peratus mendahului jangka masa ditetapkan.

“Semuanya akan siap pada September 2013 dan tarikh pembukaan untuk kegunaan umum akan ditentukan oleh pihak kerajaan (kerajaan pusat) kelak,’’ katanya pada majlis sidang media diadakan khas bagi mengulas kejadian runtuhan jambatan di Harbin, China di sini baru-baru ini.

LIM Hock Seng (tengah), Hamizol Ngah (kanan) dan Fang Zhen Ru menunjukkan tanda sepakat pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.
LIM Hock Seng (tengah), Hamizol Ngah (kanan) dan Fang Zhen Ru menunjukkan tanda sepakat pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom), Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi), Lim Hock Seng, Pengurus Kanan JKSB, Azmi Mohamad dan Pengarah Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang dari syarikat CHEC Construction (M) Sdn. Bhd., Fang Zhen Ru.

Hamizol memberitahu, Jambatan Kedua Pulau Pinang yang direkabentuk oleh syarikat China Highway Planning and Design Institute Consultants Co. Ltd (HPDI) dengan kolaborasi bersama AECOM Hong Kong mempunyai kapasiti tampungan muatan 180 ton pada semua bahagian jambatan pada satu-satu masa.

“Malah, ia juga direkabentuk untuk menahan muatan gempa bumi bagi tempoh 475 tahun tempoh berulang dan 2,500 tahun tempoh berulang gempa bumi dengan ‘kriteria tiada runtuhan’,’’ jelas beliau sambil menyatakan bahawa jangka hayat Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah selama 120 tahun.

Mengulas lanjut mengenai kejadian runtuhan jambatan di Harbin, Hock Seng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah menulis surat kepada Menteri Kerja Raya untuk menjalankan audit keselamatan terhadap Jambatan Kedua Pulau Pinang dan pakej-pakej lain sebagai jaminan keyakinan kepada semua pihak.

“Ini adalah ekoran khabar angin menyatakan bahawa syarikat yang bertanggungjawab sepenuhnya dengan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang merupakan syarikat sama terlibat dalam pembinaan jambatan di Harbin,’’ ujar Hock Seng.

Bagaimanapun, siasatan lanjut menunjukkan bahawa syarikat CHEC Construction (M) Sdn. Bhd. tidak terlibat langsung dengan pembinaan Jambatan Yangmingtan di Horbin.

Dalam kejadian baru-baru ini, Jambatan Yangmingtan di provinsi Horbin runtuh dan menyebabkan tiga terbunuh dan enam lain cedera. Jambatan tersebut merupakan paling panjang dibina merentasi sungai di utara China dan mula digunakan sejak 6 November 2011.