Naiktaraf jejantas sotong jangka siap tempoh 9 bulan

Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Kerja-kerja penaiktarafan jejantas pejalan kaki atau lebih dikenali jejantas sotong terletak di persimpangan Jalan Penang, Jalan Burma serta Jalan Dr. Lim Chwee Leong akan dimulakan secepat mungkin dan dijangka siap dalam tempoh sembilan bulan.

Perkara tersebut diumumkan Ahli Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Lalu Lintas Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Muhammad Sabri Md. Osman ketika membentangkan keputusan mesyuarat Bilangan 10, Tahun 2014 di sini baru-baru ini.

“Penaiktarafan ini adalah bagi meningkatkan keselesaan penduduk sekitar dan pejalan kaki terutamanya.

“Di antara kerja-kerja yang akan ditambahbaik ialah pemasangan lif, tangga bergerak (escalator), bumbung serta kerja-kerja berkaitan jejantas.

“ Turut tersenarai adalah penyelenggaraan lif dan tangga bergerak sepanjang tempoh penajaan pihak syarikat bertanggungjawab iaitu Ensignia Construction Sdn. Bhd. (Ensignia, anak syarikat penuh milik IGB Corporation Berhad selama 25 tahun,” ujarnya sambil menjelaskan bahawa MPPP bakal membiayai kos elektrik jejantas berkenaan.

Muhammad Sabri memberitahu, Ensignia memperuntukkan kira-kira RM6.1 juta bagi pelaksanaan projek berkaitan.

Bagi aspek pengiklanan dalam tempoh sama iaitu 25 tahun, beliau menyatakan bahawa MPPP berhak mendapat pulangan balik sebanyak lima peratus daripada pendapatan pengiklanan tersebut.

“Ruang pengiklanan mestilah diperuntukan kira-kira 20 peratus daripadanya untuk pesanan-pesanan kerajaan. “Pencahayaan pengiklanan ini bukan di bawah tanggungan majlis, sebaliknya dibiayai penaja,” jelas beliau.