Apa hikmahnya debat Soi Lek vs Guan Eng?

KETUA Menteri berjabat tangan dengan Chua Soi Lek (kanan) selepas tamatnya sesi perdebatan.
KETUA Menteri berjabat tangan dengan Chua Soi Lek
(kanan) selepas tamatnya sesi perdebatan.

DEBAT di antara dua ahli politik Cina mengenai “Kaum Cina di Persimpangan : Apakah Sistem Dwi-Parti menjadi Sistem Dua-Bangsa?” pada 18 Februari lepas telahpun berlalu.

Pelbagai reaksi dan pendapat didengar. Ada yang mengatakan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng menyerlah pada sesi debat tersebut. Ada yang mengatakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek lagi menyerlah berbanding Guan Eng.

Hakikatnya, perdebatan sebegitu sangat sukar dihitung kalah dan menang. Mungkin, kumpulan pemikir MCA Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) dan Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI) perlu menganjurkan banyak lagi debat yang lebih serius berbanding tajuk pada petang tersebut yang berbunyi, “Kaum Cina Di Persimpangan: Apakah Sistem Dwi-Parti Menjadi Sistem Dua Kaum?”

Secara tuntasnya, debat itu menyerlahkan pendirian Guan Eng dan Soi Lek. Guan Eng dilihat cuba membawa rakyat bersatu-padu menolak politik perkauman, manakala, Soi Lek dilihat sebaliknya.

“Debat televisyen mencipta satu bab yang baru dalam politik demokrasi Malaysia kerana ia merupakan satu sifat penting dalam kemajuan demokrasi.

“Saya berharap mulai hari ini, debat televisyen akan menjadi satu fenomena umum yang lumrah dalam sistem demokrasi Malaysia seperti di Eropah dan Amerika Syarikat,” ujar Guan Eng ketika dalam sesi debat di dewan Hotel Berjaya, Kuala Lumpur.

Tetapi, nasihat itu seakan ditolak mentah-mentah oleh Soi Lek. Beliau (Soi Lek) mendakwa bahawa, DAP sejak 8
Mac telahpun berubah dasar politiknya dengan mengamalkan politik kebencian.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut mendakwa DAP bekerjasama dengan PAS yang mahu melaksakan sebuah negara teokrasi.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, beliau hatta parti-parti komponen Pakatan Rakyat tidak pernah saling memperalat antara satu sama lain, tetapi, mereka masing-masing bersepakat untuk anti kerajaan pusat yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan rasuah.

KETUA Menteri, moderator, Tan Ah Chai (tengah) dan Chua Soi Lek (kanan) di atas pentas debat bertajuk, “Kaum Cina di Persimpangan : Apakah Sistem Dwi-Parti menjadi Sistem Dua-Bangsa’’.
KETUA Menteri, moderator, Tan Ah Chai (tengah) dan Chua Soi Lek (kanan) di atas pentas debat bertajuk, “Kaum Cina di Persimpangan : Apakah Sistem Dwi-Parti menjadi Sistem Dua-Bangsa’’.

“Biarpun PAS, PKR atau DAP, kami tidak memperalatkan sesama sendiri, kami hanya bersiap sedia untuk ‘diperalatkan’ oleh rakyat! Pada masa yang sama, kami bukan anti-Melayu, ataupun antibukan Melayu, kami cuma anti – kerajaan yang bergelumang dengan rasuah.

“Dalam BN, UMNO hanya menjaga orang Melayu, MCA hanya menjaga orang Cina, MIC hanya menjaga orang India, Gerakan itu… tak tahulah dia menjaga siapa.. Itulah BN yang ‘kamu jaga kaum kamu, saya jaga kaum saya’, ini adalah sistem Dua Kaum,” tegas beliau.

Nada sebegitu, mungkin mendorong Guan Eng mendesak Soi Lek untuk mendedahkan transkrip terjemahan ucapan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris seperti yang dilakukannya sekarang. Namun, Soi Lek sehingga kini tidak menyahut cabaran berkenaan.

Umumnya, hakikat yang perlu diterima adalah rakyat Malaysia yang menyaksikan siaran langsung lengkap dengan terjemahan Bahasa Melayu di saluran Astro Awani ketika itu adalah lebih ramai berbanding siaran langsung dalam bahasa Mandarin di saluran Astro AEC.

Apakah ini memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia termasuk bukan Cina juga sangat berminat dengan perdebatan seumpama itu?

Apakah kaum majoriti Melayu di negara ini juga sudah boleh menerima perdebatan secara terbuka seperti itu.

Mungkin sebab itu, Guan Eng dari awal lagi berkata, sebenarnya rakyat terbanyak di negara ini bukanlah berminat untuk mendengar perdebatan antara beliau dan Soi Lek. Tetapi katanya, rakyat berminat untuk mendengar perdebatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya berpendapat bahawa, apa yang warga Malaysia benar-benar ingin saksikan, adalah debat antara Perdana
Menteri Najib dengan Anwar, untuk melihat siapa yang sebenarnya lebih layak menjadi Perdana Menteri,” tegas beliau.

Transkrip tejermahan penuh dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris boleh dilayari di www.penang.gov.my atau di facebook, cmlimguaneng.