ARM aplikasi kaji selidik MPSP untuk bajet 2015

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Semua 800,000 warga Seberang Perai boleh menyumbang pendapat ke arah penyediaan Bajet Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) 2015 dalam tempoh sebulan dari sekarang, dengan hanya memuat turun aplikasi Projek ARM atau ‘Apa Rakyat Mahu’ menerusi telefon pintar masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dalam ucapan perasmiannya memberitahu bahawa projek perintis soal selidik itu adalah untuk mempergiat proses demokrasi tempatan, selain, mengalakkan penyertaan warga Seberang Perai dalam membuat keputusan belanjawan bersama-sama MPSP.

“Lebih kurang RM200 juta dibelanjakan pihak berkuasa tempatan (PBT), ini bermakna secara puratanya MPSP membelanjakan RM250 untuk setiap orang.

“Maka, Projek ARM ini memberi kuasa kepada 800,000 warga Seberang Jaya untuk memberikan pendapat bagaimana RM250 yang diperuntukan untuk tiap-tiap orang ini perlu dibelanjakan,” ujarnya di Kompleks Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Norlela Ariffin serta Ahli-ahli Majlis MPSP lain turut hadir pada majlis pelancaran aplikasi jenis android tersebut, yang turut boleh diakses melalui website serta laman sosial Facebook.

Sebelum itu, Pengarah Projek ARM, P. David Mashel memberitahu, aplikasi pintar tersebut menelan kos RM5,000, yang diambil daripada peruntukan peribadinya sebagai Ahli Majlis MPSP.

Menurut beliau, projek perintis itu dibangunkan secara bersama dengan bantuan Pengasas ‘MPSP Watch’, Bernard Cheen.

“Demokrasi, bermakna pandangan dan suara rakyat mesti diambil kira oleh kerajaan, sebelum keputusan dibuat,” ujar beliau. David Marshel memberitahu, sasaran minimum untuk Projek ARM sulung berkenaan adalah 5,000 responden dan keputusan soal selidik pintar akan diumumkan selepas 15 Jun ini.