MPPP alu umum ambil bahagian kaji selidik sedia Bajet 2015

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Orang ramai dialualukan untuk mengambil bahagian dalam kaji selidik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang sedang dalam rangka penyediaan Bajet 2015 kini.

Sebarang cadangan dan pandangan boleh dibuat secara talian dengan mengisi borang kaji selidik yang diperoleh di laman sesawang www.mppp.gov.my mulai 15 Mei hingga 14 Jun ini.

Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail dalam sidang media di sini baru-baru ini berkata, penglibatan orang ramai dalam memberikan maklumbalas bakal membolehkan Majlis menyediakan bajet lebih menyeluruh dan bermanfaat buat seluruh penduduk pulau di Pulau Pinang.

“Majlis berharap orang ramai dapat memberikan input cadangan dan pandangan masing-masing ke arah penyediaan bajet yang lebih baik dan efektif.

“Ini adalah salah satu saluran untuk penduduk pulau Pulau Pinang menyatakan apa yang mereka inginkan.

“Penyertaan ini akan membuka ruang dan minda orang awam bahawa penyediaan perkhidmatan yang berkesan adalah menjadi tanggungjawab bersama,” katanya pada satu sidang media di Komtar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Ir. Ang Aing Thye dan Ahli Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan MPPP, Joseph Ng Soon Siang. Patahiyah dalam pada itu berharap dapat menerima maklumbalas lebih menggalakkan berbanding penyertaan tahun lalu (2013) iaitu hanya 35 responden yang rata-rata memohon supaya tumpuan diberikan kepada pembangunan taman dan kemudahan infrastruktur.

Sebarang pertanyaan sila hubungi, Ketua Unit Hasil MPPP di talian 04 – 259 2120 atau email [email protected], Akauntan (Belanjawan dan Akaun) 04 – 259 2121, [email protected] atau Penolong Akauntan (Belanjawan dan Akaun) 04 – 259 2140, [email protected].