Pertimbang haram arak murah di Seberang Perai

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERAI – Dua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), M. Satees dan P. David Marshel mencadangkan pihak berwajib mempertimbang syor pengharaman arak murah yang nyata mengakibatkan ketagihan serta dianggap antara punca pelbagai penyakit barah membabitkan keluarga miskin di negeri ini.

Mereka mencadangkan sedemikian berdasarkan maklumat mesyuarat MPSP yang mendedahkan, dari 369 premis menjual arak (liquor) yang diberikan lesen, sebanyak 250 premis adalah di pasaraya dan kedai runcit.

Justeru, menurut mereka, langkah pengharaman arak murah tersebut sekaligus dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri yang mengutamakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Semua pihak di Pulau Pinang diseru supaya berganding bahu dalam mengorak langkah ke arah pengharaman arak murah (atau) samsu dari pasaran dalam masa akan datang,” ujar mereka dalam satu kenyataan bersama di sini baru-baru ini.

Sebagai langkah permulaan, kata mereka, penubuhan satu jawatankuasa bertindak oleh MPSP bersama-sama Kastam dan Polis perlu segera dikaji demi mencegah pelbagai gejala sosial dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Tambah mereka, “samsu” sepatutnya tidak boleh lagi dijual selepas jam 9 malam, tetapi, peraturan sedia ada itu seakan langsung tidak dikuatkuasakan.

“Ada juga kedai menjual arak yang beroperasi 24 jam. Ini menunjukkan kurangnya penguatkuasaan,” tegas mereka.

Difahamkan, arak murah mempunyai kandungan alkohol yang tinggi itu, dipercayai adalah antara punca penyakit kanser pada otak, lidah, mulut, esofagus, larink dan pundi kencing.

Selain itu, ketagihan minuman tidak sihat itu mampu merosakkan organ hati, seperti sirosis, steatosis dan hepatitis; ulser, gastritis, serta kecederaan otak dan masalah saraf.