Majlis khas peringati ulang tahun ke-100 Perang Dunia Pertama

Oleh: AHMAD ARAFAT ESAH


GEORGE TOWN- Kerajaan Negeri (KN) berhasrat mengadakan majlis khas bagi memperingati ulang tahun ke-100 tenggelamnya Kapal Perang Rusia, Zhemchug di perairan Pulau Pinang semasa Perang Dunia Pertama.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, acara itu akan diadakan dalam tempoh dua tahun lagi iaitu pada ulang tahun ke-100 Perang Dunia Pertama di negeri ini.

“Ini adalah kerana Rusia menpunyai hubungan sangat erat dengan Pulau Pinang di awal Perang Dunia Petama.

“Justeru, kami (KN) akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-100 bagi mengenangkan peristiwa sedih itu,” ujarnya ketika menghadiri Majlis Makan Tengahari Bersama Wakil-wakil 19 Kesatuan Eropah (EU) sempena sambutan 2013 EUPenang Day di sini baru-baru ini.

Majlis makan tengahari yang dihadiri 12 negara tersebut diketuai Ketua Deligasi EU ke Malaysia, Luc Vandebon.

EU dan negara-negara ahlinya telah menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Malaysia di peringkat persekutuan. Malah, EU – Penang Day merupakan platform yang dapat digunakan bagi bertukar-tukar maklumat dan berbincang mengenai inisiatif bagi meluaskan kerjasama sudah sedia terjalin tersebut.

Dalam pada itu, Vandebon dalam ucapannya melahirkan hasrat menjadikan EU – Penang Day sebagai acara tahunan dengan menjanjikan saiz delegasi yang lebih besar pada tahun-tahun mendatang.

“Saya berharap kita (EU) dapat mengadakan majlis seperti ini sebagai acara tahunan dengan melibatkan lebih ramai delegasi dengan bermodalkan motivasi serta cita-cita yang lebih tinggi,” ujarnya.