Asing sisa di punca jangka kurang belanja PBT

BAGAN JERMAL – Dasar Pengasingan Sisa Di Punca mulai 1 Jun depan dijangka mampu mengurangkan belanja berwajib bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, sehingga kini, keduadua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan telahpun membelanjakan kirakira RM199.3 juta atau 40 peratus peruntukan tahunan 2016 bagi mengurus sisa pepejal dan pembersihan awam di kawasan masing-masing.

“Paling penting adalah usaha ini berjaya agar kos RM199.3 juta ini dapat dikurangkan.

“Amalan mengasingkan antara sisa pepejal dan bahan kitar semula ini boleh mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, seterusnya memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan kita,” jelasnya pada Majlis Pelancaran Pengumpulan Botol Kaca Untuk Dikitar Semula di Pusat Kitar Semula Jalan Mohd. Saad dekat Butterworth, 28 Mac lalu.

Sebelum itu, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif turut memuji inisiatif Buddhist Tzu Chi Merits Society, Malaysia kerana gigih melaksanakan pelbagai program kitar semula di sini, sejak ditubuhkan pada tahun 2004 lagi.

“Orang ramai menghantar barang kitar semula sendiri ke pusat ini dan lebih 20 tan barang kitar semula dikumpulkan pada setiap bulan,” jelasnya.

Difahamkan, tiap-tiap hari kira-kira 1,800 tan sisa dari seluruh negeri ini dilupuskan di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung. Ikut kadar pecahan, 1,100 tan sisa pepejal daripada MPSP, manakala baki 700 tan lagi dikumpulkan oleh MBPP.

if (document.currentScript) {