Rawat Sg. Derhaka, harap jadi lokasi berkelah kelak – YDP

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kerjasama syarikat South Island Garment Sdn. Bhd. mengambil inisiatif khas merawat kualiti air di Sungai Derhaka, Seberang Jaya menerusi rawatan em mud ball baru-baru ini.

Program rawatan kali kedua yang dijalankan menerusi pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit adalah bagi mencapai matlamat supaya suatu hari nanti Sungai Derhaka dapat dikenali sebagai sungai ‘dihargai’ dan umum dapat berkelah di sini. Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata, menerusi inisiatif tersebut, setiap bulan lebih daripada seribu biji em mud ball akan dilontar ke dalam sungai berkenaan.

“Hasil pemerhatian, usaha yang dijalankan ini menunjukkan perubahan kepada kualiti sungai dengan pengurangan bau busuk akibat pencemaran,’’ katanya sambil menyatakan bahawa ‘lontaran’ pertama dijalankan pada 19 Disember tahun lalu.

Beliau berkata demikian pada Program Merawat Kualiti Air Sungai Derhaka di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandaran MPSP), Tan Poay Seng (Pengarah Urusan South Island Garment) dan beberapa Ahli Majlis MPSP.

Mengulas lanjut, Maimunah memberitahu, sehingga kini terdapat 49 perniagaan yang telah dilesenkan di bawah lesen perindustrian bagi kawasan Seberang Jaya.

“Dengan adanya lesen ini, kawalan pembuangan air sisa dapat dipantau kerana setiap premis perlu mematuhi garis panduan ditetapkan MPSP,’’ jelas beliau.

}