Asing sisa, kurang beratan sampah ke tapak pelupusan

Admin

BUKIT MERTAJAM – Pasar raya terkemuka AEON Big dekat Bukit Minyak menjadi pasar raya pertama di Seberang Perai yang menyertai Program Sisa Sifar anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod berkata, tujuan penganjuran program berkenaan adalah untuk memberi kesedaraan termasuk mengajak para pengusaha premis di AEON Big supaya mengasingkan sisa makanan daripada dibuang terus ke tapak pelupusan.

“Langkah ini sekaligus dapat mengurangkan jumlah beratan sampah di tapak pelupusan dan juga dapat meningkatkan kadar kitar semula dalam kalangan pengusaha premis dan masyarakat.

“Selain itu, melalui program ini juga, pengusaha premis dapat mengetahui bahawa sisa makanan boleh juga dijadikan sebagai baja kompos,” katanya semasa melancarkan program berkenaan di Medan Selera AEON Big Bukit Minyak di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Setor AEON Big Bukit Minyak, S. Tinagaran dan Ahli-ahli Majlis bagi MPSP. Mengulas lanjut, Rosnani menyatakan bahawa dua restoran dan tiga gerai makanan di sini akan melaksanakan pengasingan organik yang mana kaedah pelaksanaannya telah dibentangkan dalam satu taklimat pada 30 April lalu.

“Peserta juga dibekalkan dengan bekas untuk mengisi sisa organik, dan apabila bekas ini telah penuh, pihak pengurusan
akan memaklumkan kepada MPSP untuk menyelaraskan kutipan.

“Sisa makanan yang dikutip ini akan dihantar ke Pusat Kompos Bagan Ajam untuk dijadikan sisa kompos.

“MPSP juga telah memilih beberapa pasar awam sebagai perintis projek untuk menjalankan kutipan organik yang merupakan salah satu langkah dalam menuju sisa sifar,” jelasnya.