Inisiatif PASA, kedudukan strategik Kompleks Bandaraya Relau bakal cungkil bakat-bakat muda sukan air

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

PAYA TERUBONG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap dengan kewujudan Kompleks Sukan Bandaraya dekat Relau, ia bakal mengembalikan kegemilangan atlet-atlet renang Pulau Pinang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa kelak.

Katanya, menerusi inisiatif Persatuan Renang Amatur Pulau Pinang (PASA) dan kedudukan strategik kompleks tersebut, bakatbakat muda akan dapat dicungkil di masa hadapan untuk menjadi jaguh renang.

“Kita (Kerajaan Negeri) harap aktiviti sukan air di negeri ini dapat dimajukan, dapat dipulihkan kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang pada suatu ketika dulu adalah amat kuat dalam sukan air seperti renang.

“Atlet-atlet yang bertapak di sini, saya harap akan dapat latihan daripada jurulatih yang baik termasuk bekas penerjun olimpik,” ucap beliau pada Majlis Makan Malam dan Anugerah PASA dekat kompleks sukan tersebut di sini 2 Jun lalu.

Difahamkan, sejak dibuka awal tahun lalu, seramai 10,000 pengguna telah memanfaatkan kegunaan gelanggang badminton dan kemudahan kolam renang (9,000).

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang; kepimpinan PASA, wakil-wakil kelab renang dan para atlet.

Berhubung perkembangan sukan di negeri ini, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri dalam beberapa tahun kebelakangan ini serta tahun akan datang adalah giat menaik taraf kemudahankemudahan sukan di negeri ini.

“Antaranya, gelanggang bola keranjang berbumbung, stadium hoki, stadium bola sepak termasuk satu stadium renang tertutup di persisiran Queensbay,” ujarnya.

Pada acara kemuncak tadi, Penang Swimming Club berjaya membawa pulang trofi Piala Ketua Menteri, manakala Penang Dolphin Team berjaya menggondol Piala Presiden.