Asing sisa, penjimatan dapat bangun infrastruktur lain

Admin

SEBERANG JAYA – Pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca khususnya di unit-unit kediaman bermula Jun tahun lalu dijangka mampu menjimatkan 40 peratus kos perbelanjaan tahunan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, kesedaran dalam kalangan penduduk terhadap Dasar Pengasingan Sisa Di Punca masih belum cukup meluas.

“Kos untuk mengurus sisa pepejal ini adalah sangat tinggi, bayangkan kalau kita (isi rumah) bayar cukai sebanyak RM100, hampir setengah daripadanya iaitu RM40 adalah untuk pengurusan sampah sahaja.

“Sebaliknya, jika kita (isi rumah) secara konsisten melakukan pengasingan sisa, kos yang telah dijimatkan ini boleh digunakan untuk membangunkan infrastruktur lain demi kemudahan semua,” ujarnya pada Program Taklimat Dasar Pengasingan Sisa Di Punca anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Siakap baru-baru ini di sini.

Hadir menyampaikan taklimat kepada penduduk setempat, Pegawai Local Action Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) MPSP, Chew Eng Seng.

Dianggarkan, MPSP membelanjakan lebih RM8 juta untuk kos pengurusan sisa pepejal dalam tempoh setahun.

Mengulas lanjut, Afif memberitahu, Kerajaan Negeri kini memberi kesedaran kepada masyarakat umum untuk membiasakan diri berhubung amalan pengasingan sisa sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Kita tidak mahu sampai tahap mengeluarkan saman dan sebagainya. Kalau boleh kita mahu didik, asuh dan biarkan rakyat secara sukarela lakukan pengasingan sisa ini supaya ia menjadi amalan seharian,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) SeberangJaya.

Selain taklimat, beberapa aktiviti menarik turut disediakan antaranya cabutan bertuah dan pameran kesedaran.