Kuat kuasa Dasar Asing Sisa Di Punca 1 Jun, kompaun maksimum RM250

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal memulakan langkah penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca mulai 1 Jun 2017, selepas kira-kira setahun pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan menganjurkan pelbagai program pendidikan dan kesedaran di semua peringkat komuniti.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif menegaskan bahawa RM250 kompaun maksimum bagi setiap kesalahan akan dikenakan kepada pemilik premis yang gagal melaksanakan dasar tersebut nanti.

“Adalah diharapkan supaya semua pihak dapat memberi kerjasama dengan melaksanakan dasar ini, agar ianya akan menjadi satu tunjang utama dalam penjagaan alam sekitar yang lebih lestari dan hijau,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Penuh di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru- baru ini.

Turut serta, Setiausaha Perbandaran, Sr. Rozali Mohamud serta barisan ahli majlis bagi PBT berkenaan.

Demi mempromosi dasar berkaitan, menurut Maimunah, MPSP sejak 1 Jun tahun lepas telah mengedarkan 355,000 risalah; menaikkan 220 banting serta 101 kain rentang; pameran LED Board di Auto City, 10 papan tanda mega, 62 sepanduk pada badan lori tipper sewaktu hari kutipan sisa, 100 poster saiz A3 di pondok bas tumpuan; pengiklanan menerusi Facebook dan dalam slip cukai pintu.

“Sejak bermulanya pelaksanaan dasar ini, jumlah kutipan barang kitar semula oleh MPSP dari kawasan perumahan pada bulan Jun hingga Disember 2016 adalah sebanyak 252,863 kilogram (kg) atau 253 tan.

“Pada peringkat awal (sejak 1 Jun 2016), tiada tindakan penguatkuasaan, bagaimanapun peringatan telah diberikan kepada pemilik rumah yang tidak menjalankan (amalan) pengasingan sisa di punca ini,” jelasnya.

Berdasarkan rekod MPSP, Maimunah menyatakan bahawa sebanyak 9,446 notis peringatan telah dikeluarkan bermula pada Ogos sehingga Disember tahun lepas sahaja.

Sejak 1 Jun 2016, difahamkan, MPSP menganjurkan kira-kira sembilan program Majlis Pelancaran Dasar Pengasingan Sisa Di Punca Peringkat Bahagian Seberang Perai.

MPSP sejak 1 Jun tahun lepas turut menganjurkan kira-kira 318 siri taklimat, antaranya 105 siri di taman perumahan, kediaman bertingkat (62), sekolah (32), kampung (31), institusi (30), pasar raya (15), kilang-kilang (14), hotel (4), Projek Perumahan Rakyat atau PPR (3) dan lain-lain kategori lokasi (22).