Aspek kebajikan dan perumahan rakyat diberi penekanan dalam Bajet 2023

Admin

GEORGE TOWN – Menginsafi cabaran ekonomi yang bakal dihadapi rakyat pada tahun depan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutukan untuk memberikan penekanan terhadap aspek kebajikan dan perumahan rakyat dalam Bajet 2023.

Oleh itu menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Kerajaan Negeri bertindak meningkatkan peruntukan bagi bantuan kewangan melalui program i-Sejahtera kepada RM53 juta berbanding RM50 juta pada tahun lepas.

“i-Sejahtera merupakan program penghargaan yang sangat dekat di hati rakyat Pulau Pinang.

“Sumbangan Kerajaan Negeri berbentuk kewangan ini diberikan sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan kepada rakyat negeri ini sama ada kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, suri rumah sepenuh masa mahupun seorang bayi berumur dua tahun ke bawah,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

Bukan itu sahaja menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut mengekalkan peruntukan bagi bantuan kewangan melalui inisiatif Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES) berjumlah RM8.2 juta.

“Program ini adalah bagi menjamin kelangsungan hidup mereka yang berpendapatan rendah dan benar-benar memerlukan yang mana sehingga Oktober tahun ini, seramai 1,305 penerima telah mendapat manfaat,” katanya.

Selain aspek kebajikan, Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri juga memberikan penekanan kepada persekitaran kehidupan yang selesa bagi rakyat di negeri ini melalui peruntukan keseluruhan berjumlah RM35.9 juta.

Kata beliau, jumlah itu adalah termasuk RM3.1 juta bagi Program Pembaikan Rumah Rakyat Termiskin untuk membina rumah baharu dan membaiki rumah asal.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan berjumlah RM6.8 juta untuk penyelenggaraan Skim Perumahan Kos Rendah atau Sederhana Rendah swasta melalui inisiatif Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).

“Manakala sejumlah RM13 juta akan disediakan bagi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang untuk belanja mengurus pada tahun 2023,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa krisis perubahan iklim yang melanda dunia dan negara kini telah mengancam kehidupan rakyat.

Justeru beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang akan meneruskan tumpuan kepada usaha mengurangkan kejadian banjir melalui pelaksanaan beberapa projek tebatan banjir melalui peruntukan RM29.85 juta.

“Ini termasuk projek tebatan banjir, mendalam dan membaiki sungai, pengairan dan saliran pertanian, rancangan tali air kecil untuk pengairan, pembangunan pantai, pembangunan koridor sungai, saliran mesra alam, kolam takungan serta lain-lain.

“Selain lima projek berimpak tinggi yang telah siap dibina pada tahun 2021, terdapat dua lagi projek yang baru dimulakan pada Jun 2022 iaitu Projek Tebatan Banjir Van Praagh dan juga Projek Tebatan Banjir Parit Monsun Pokok Assam yang kini mencapai kemajuan enam peratus dan 2 peratus.

“Kedua-dua projek ini dijangka akan dapat disiapkan pada tahun 2024,” jelasnya.

Belanjawan Pulau Pinang 2023 bertemakan “Pembangunan Mampan Mensejahterakan Rakyat” memperuntukkan sejumlah sejumlah RM989.47 juta bagi perbelanjaan mengurus iaitu meningkat sebanyak RM54.25 juta berbanding tahun 2022.

Sementara itu, bajet bagi pembangunan mengurus pula berjumlah RM326.8 juta melalui sembilan jabatan negeri.

Bajet kali ini menyaksikan defisit sebanyak RM467.12 juta berbanding anggaran hasil RM522.35 juta bagi tahun 2023 iaitu bertambah sebanyak RM17.32 juta berbanding RM449.8 juta pada tahun lepas.

“Namun mengambil kira janji Kerajaan Negeri yang akan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melonjakkan pembangunan negeri di samping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara, maka bajet berdefisit perlu dilaksanakan.

“Anggaran defisit atau kekurangan RM467.12 juta yang dijangka dalam Bajet 2023 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM848.82 juta pada akhir tahun 2021.

“Jumlah keseluruhan rizab Kerajaan Negeri setakat akhir tahun 2021 adalah berjumlah RM2.117 bilion termasuk Akaun Amanah Disatukan,” ulas Kon Yeow.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI