Bajet 2023: Peruntukan RM75.08 juta jamin kesejahteraan hidup umat Islam

Admin

GEORGE TOWN – Sebagai komitmen untuk menjamin kesejahteraan kehidupan umat Islam negeri ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang meningkatkan peruntukan bagi tujuan itu kepada RM75.08 juta dalam Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2023.

Semasa membentangkan bajet tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peruntukan tersebut adalah termasuk bagi tujuan pembangunan institusi Islam, bayaran bantuan pendidikan.

“Kerajaan Negeri akan terus komited memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan memperkasakan syiar Islam di negeri Pulau Pinang.

“Bagi meneruskan komitmen ini, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM75.08 juta bagi memperkasakan pembangunan agama Islam di negeri Pulau Pinang.

“Peruntukan ini merangkumi pembangunan bagi tujuan pembinaan, pembaikan dan naik taraf masjid, surau dan sekolah agama, bayaran bantuan pendidikan untuk sekolah agama, bayaran guru KAFA dan pegawai masjid.

“Selain itu, ia turut merangkumi mengurus jabatan negeri berkaitan hal ehwal agama Islam, peruntukan bagi pelaksanaan program dan majlis agama serta lain-lain yang berkaitan,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

Tambah Kon Yeow, Pulau Pinang telah dipilih sebagai tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023, dan sebanyak RM3.53 juta telah diperuntukan bagi tujuan tersebut.

“Saban tahun, pelbagai majlis rasmi agama Islam peringkat negeri Pulau Pinang telah dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) seperti Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran, Sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul dan Festival Nasyid.

“Penganjuran majlis-majlis ini adalah amat penting bagi meraikan peristiwa-peristiwa penting dalam kalendar Islam di samping memilih calon-calon yang akan mewakili negeri Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan.

“Justeru, Kerajaan Negeri berasa bertuah kerana telah dipilih untuk menjadi tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023,” ujarnya.

Tambah Kon Yeow, pembinaan institusi Islam terutamanya masjid sangat diberikan penekanan oleh Kerajaan Negeri melalui peruntukan berjumlah RM18 juta bagi tahun 2023.

“Selain masjid-masjid yang sedang dalam pembinaan sekarang, turut dalam perancangan bagi tahun 2022 sehingga tahun 2025 adalah pembangunan tujuh masjid lagi.

“Masjid terlibat ialah Masjid Papan di Seberang Jaya, Masjid Sungai Lokan dan Masjid Sungai Dua Utama di Butterworth, Masjid Bandar Raya Seberang Perai di Bandar Cassia, Masjid Lama Sungai Bakap dan Masjid Lama Sungai Kechil di Nibong Tebal serta Masjid Bandar Putra Bertam di Bertam,” jelasnya.

Sebagai rekod, pada tahun 2022, Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan bagi pembangunan syiar Islam di negeri Pulau Pinang meningkat kepada RM71.13 juta berbanding RM64.16 juta pada 2021.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI