Atas semangat merdeka, jangan biarkan diri dijajah amalan rasuah, nasihat TKMI

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Sungguhpun tanah air mengecapi kemerdekaan sudah 59 tahun, jangan biarkan diri dijajah oleh amalan rasuah serta penyelewengan kuasa yang akhirnya akan menjejaskan nama baik negara di mata dunia.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon memberi nasihat berkenaan ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan & Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

“Sambutan ini untuk menyemai semangat patriotisme dalam diri kita semua sebagai rakyat Malaysia, daripada pelbagai peringkat, sekecil kanak-kanak, remaja, dewasa dan seluruh warga negeri Pulau Pinang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak pada majlis berkaitan.

Bercakap kepada pemberita, Mohd. Rashid turut memuji keberanian dua rakyat Malaysia yang memulakan saman kelompok terhadap beberapa peribadi berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Tanpa menyebut nama pihak yang dipuji, Mohd. Rashid menganggap usaha mereka berkenaan mahu membawa pulang harta rakyat samalah seperti usaha para pejuang kemerdekaan terdahulu mempertahankan maruah tanah air daripada belenggu penjajah.

“Itu yang sepatutnya kita nak dedahkan, risiko itu tetap ada, tetapi rakyat berkenaan diharap dapat melakukan yang terbaik. “Kita memang tabik kepada beberapa orang yang berani mendedahkannya,” ujarnya.

Sebelum itu, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang yang juga ADUN Bukit Tambun ketika berucap pada majlis keraian sama memberitahu, pelbagai program dianjurkan peringkat negeri sepanjang Bulan Kemerdekaan mulai 16 Ogos hingga 16 September ini.

Timbalan Ketua Menteri II Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dr. Afif Bahardin (ADUN Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Danny Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan), Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dan Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) turut sertai majlis keraian negeri itu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Pada majlis sama, Mohd. Rashid turut menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan serta wakil-wakil agensi korporat.

Malah, turut disampaikan hadiah kepada para pemenang bagi Peraduan Mewarna kanak-kanak serta Pertandingan Membina Jalur Gemilang Daripada Barang Kit